EKONOMI

UOB Malaysia Tetapkan Harga Sukuk Musharakah Sri Hijau ASEAN Pada RM455 Juta Untuk ECRB

06/10/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- UOB Malaysia berjaya menetapkan harga nota jangka sederhana Islam bernilai RM455 juta di bawah Tranche 7 Program Sukuk Musharakah RM2 bilion EXSIM Capital Resources Bhd (ECRB), yang distrukturkan sebagai Sukuk Musharakah SRI Hijau ASEAN.

Penerbitan sukuk itu menyaksikan permintaan pelabur yang kukuh, mencapai kadar keuntungan kompetitif sebanyak 4.80 peratus setahun dan menarik nilai pesanan sekitar RM1.2 bilion, menghasilkan nisbah bidaan kepada liputan sebanyak 2.6 kali, kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

UOB Malaysia bertindak sebagai pengatur utama dan pengurus utama bersama, bersama NewParadigm Securities untuk penerbitan sukuk terbesar setakat ini oleh Kumpulan EXSIM, yang dilaksanakan melalui penempatan persendirian.

Hasil penerbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembangunan kediaman hijau terbaru kumpulan itu, iaitu The Kingswoodz di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Noordinz Suites di Georgetown, Pulau Pinang.

Ketua Negara bagi Perbankan Komersial UOB Beh Wee Khee berkata pihaknya berbangga kerana telah menyokong EXSIM sepanjang Program Sukuk Musharakahnya, membantu menggerakkan modal untuk projek komersial dan kediaman hijau.

“Dengan menstrukturkan sukuk yang sejajar prinsip ESG di bawah rangka kerja SRI Hijau ASEAN, kami terus memajukan visi bersama mengenai pertumbuhan yang bertanggungjawab dan kewangan Islam yang inovatif,” katanya.

Sukuk itu diterbitkan pada 8 Julai, 2025 dan disokong oleh Tranche Kertas Komersial Islam bernilai RM100 juta yang ditaja jamin oleh UOB Malaysia.

Urus niaga itu melibatkan pengewangan pengebilan kemajuan daripada projek pembangunan kediaman yang dikawal di bawah Akta Pembangunan Perumahan.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan