AM

RUU Tribunal Anti-Buli Dijangka Dibentang Di Parlimen Disember Ini - Azalina

06/10/2025 06:24 PM

PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, kertas Kabinet berhubung penggubalan RUU berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri seawal November ini bagi memaklumkan input serta dapatan hasil sesi dialog awam antibuli yang diadakan di seluruh negara.

“Disember ini, RUU berkenaan akan siap kerana kerajaan MADANI telah berjanji untuk memperkenalkan undang-undang ini pada sidang Parlimen kali ini.

“Insya-Allah, pada awal November kita akan bentangkan ke Kabinet untuk mereka membuat penentuan dari segi dasar kerana Kabinet ingin mendengar hasil libat urus yang telah dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli bersama wakil murid di bawah Kementerian Pendidikan di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Azalina berkata ketika ini kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik yang akan digunakan bagi membendung gejala buli di pelbagai peringkat.

“Kabinet, sebagai contoh, boleh memutuskan untuk menubuhkan dua set tribunal, iaitu bagi individu berusia bawah 18 tahun dan 18 tahun ke atas, atau mungkin dua tribunal yang berbeza.

“Kami masih meneliti mekanisme paling sesuai, namun daripada perspektif kanak-kanak hari ini, mereka sudah lebih memahami isu ini. Bagaimanapun, banyak kebolehubahan perlu diambil kira mengenai punca dan cara penyelesaiannya.

“Tugas saya ialah menentukan sama ada tribunal lebih berkesan berbanding mahkamah kerana tribunal tentunya lebih cepat,” katanya.

Mengulas mengenai sesi dialog awam berkenaan, Azalina berkata, input yang diperoleh daripada pelajar membolehkan RUU Anti-Buli dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya juga percaya sesi seperti ini dapat membantu meningkatkan kefahaman terhadap konsep buli,” katanya sambil menambah bahawa sesi dialog awam seterusnya akan diadakan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mendapatkan pandangan pelajar berusia 18 tahun ke atas.

Pada sesi itu, seramai 130 pelajar Kementerian Pendidikan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor serta Negeri Sembilan tampil memberikan pandangan serta cadangan bagi penyediaan RUU Anti-Buli.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Azalina diberi tempoh enam bulan untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan RUU Tribunal Anti-Buli.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan