AM

Penjawat Awam Tidak Dibenarkan Terlibat Dalam Aktiviti, Majlis Libat Minuman Keras - CUEPACS

06/10/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Penjawat awam tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti atau majlis yang melibatkan minuman keras (arak) atau sebarang bentuk minuman beralkohol.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata setiap pegawai perlu menjaga integriti, imej dan maruah perkhidmatan awam, selaras dengan nilai profesionalisme serta tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. 

Beliau berkata penyertaan dalam aktiviti yang boleh mencemarkan reputasi jabatan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“CUEPACS menasihatkan supaya mana-mana penjawat awam yang menerima jemputan menghadiri majlis makan malam, jamuan rasmi atau tidak rasmi yang disyaki melibatkan hidangan minuman beralkohol segera mendapatkan pengesahan daripada pihak penganjur.

“Jika terdapat keraguan atau maklumat majlis itu melibatkan minuman arak, penjawat awam hendaklah menolak jemputan berkenaan serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa atau ketua jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata CUEPACS juga menggesa pihak swasta dan industri supaya menghormati budaya serta sensitiviti agama khususnya dalam majlis rasmi yang turut dihadiri oleh penjawat awam dan berpandangan langkah itu penting bagi memastikan setiap bentuk majlis rasmi atau tidak rasmi tidak menyinggung mana-mana pihak dan selari dengan nilai moral serta budaya masyarakat Malaysia.

“CUEPACS juga menyeru agar semua jabatan dan agensi kerajaan lebih berhati-hati dalam memilih acara atau program yang disertai bagi mengelakkan timbulnya persepsi tidak baik terhadap penjawat awam serta memastikan imej perkhidmatan awam kekal dihormati rakyat,” katanya.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penggubalan satu Kod Etika Majlis Rasmi Negara yang merangkumi garis panduan menyeluruh tentang tatacara penganjuran majlis rasmi termasuk larangan penyajian arak, pemakaian beradab, disiplin penggunaan sumber awam serta adab dalam protokol kenegaraan.

Setiausaha Agung ABIM Muhamad Aliemran Norasid berkata kod berkenaan akan memperkukuh integriti dan wibawa pentadbiran negara selaras dengan nilai Malaysia MADANI dan semangat Rukun Negara.

“ABIM juga menegaskan agar tindakan sewajarnya diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar Kod Etika Majlis Rasmi Negara yang boleh mencemarkan imej negara dan menjatuhkan nilai murni kesopanan dan kesusilaan serta menimbulkan polemik perpecahan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata majlis rasmi kerajaan dan institusi awam adalah cerminan wajah negara dan ia wajar mencerminkan nilai adab, profesionalisme dan tanggungjawab moral yang tinggi.

“Penyajian arak dalam majlis rasmi tidak selari dengan prinsip kesederhanaan serta nilai kesopanan dan kehormatan yang menjadi tunjang budaya pentadbiran kita,” katanya.

Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim pula berkata walaupun hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras secara peribadi tetap dihormati, namun ia tidak wajar dijadikan hidangan dalam majlis kerajaan.

Beliau berkata sekiranya benar majlis kerajaan menghidangkan arak, ia adalah perkara yang amat mengecewakan kerana bertentangan dengan syariat dan pegangan Islam serta konsep MADANI yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Pada hemat saya, penyajian arak dalam majlis rasmi kerajaan adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima, tidak kira sama ada ia dibiayai menggunakan dana kerajaan mahupun ditaja oleh pihak industri,” katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan