AM

Kesedaran Masyarakat Pulau Pinang Terhadap Isu Kebajikan Kanak-kanak Semakin Meningkat

06/10/2025 02:44 PM

GEORGE TOWN, 6 Okt (Bernama) -- Peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu kebajikan serta perlindungan kanak-kanak antara penyumbang kepada pertambahan jumlah laporan kes penderaan dan pengabaian di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Rozita Ibrahim berkata setakat Ogos lepas, sebanyak 697 kes dilaporkan melibatkan empat kategori di bawah Akta Kanak-kanak 2001 iaitu kanak-kanak yang memerlukan perlindungan kerana penderaan fizikal, pengabaian, eksploitasi dan pemerdagangan.

“Kategori kedua ialah kanak-kanak memerlukan perlindungan dan pemulihan, melibatkan mereka yang dieksploitasi untuk tujuan seksual seperti pelacuran, mangsa rogol atau kehamilan luar nikah.

“Ketiga, mereka terlibat jenayah berat seperti mencuri, menyamun dan membunuh manakala keempat ialah kanak-kanak tidak terkawal iaitu apabila ibu bapa gagal mengawal tingkah laku anak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman kempen Penang Goes Orange di Komtar, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang Datuk Ong Bee Leng.

Rozita berkata kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun kerana mereka lebih mudah terdedah kepada pengabaian dan penderaan.

Beliau berkata setiap kes disiasat secara menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemeriksaan perubatan, sesi kaunseling dan intervensi jangka panjang.

“Bagi kes tertentu, kanak-kanak terlibat ditempatkan di bawah jagaan waris terdekat seperti datuk, nenek atau ibu saudara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka terjamin,” katanya.

Rozita berkata peningkatan jumlah kes perlu dilihat positif kerana mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan pelancaran kempen Penang Goes Orange sebagai komitmen untuk memerangi sebarang bentuk keganasan berasaskan gender dan penderaan.

Dalam ucapannya, Lim menyeru rakyat mengubah budaya berdiam diri dengan menjadi pemerhati aktif yang berani melapor, menegur serta bertindak dalam isu berkenaan.

Bertemakan Break the Silence: Jangan Dok Diam!, Lim berkata kemuncak kempen berlangsung pada 13 Dis dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow akan mengetuai sesi bacaan ikrar dan nyalaan orange stick sebagai simbol solidariti menolak keganasan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan