FOKUS BERNAMA

Kemunculan Nurse Shark, Yu Sirip Hitam & Yu Cicak Tanda Ekosistem Marin Labuan Sihat

06/10/2025 10:50 AM
Daripada Jailani Hasan

Berkilauan disimbah sinaran matahari petang, perairan Pulau Rusukan Kecil nampak tenang di permukaan namun di bawahnya tersembunyi keajaiban yang memukau. 

Bagi ahli Kelab Menyelam Labuan Tan Zhi Shan, keterujaan menyaksikan keajaiban itu bertukar menjadi rasa tidak percaya apabila pandangan matanya terarah pada satu bayang kecil yang muncul dari lantai laut berpasir - jerung jenis nurse shark.

“Saya rasa bagaikan sedang bermimpi apabila ternampak jerung itu. Awalnya saya sangka ia akan berenang melarikan diri, tetapi tidak...membolehkan saya memerhatikannya dari jarak dekat. Kehadiran jerung itu memberikan saya harapan bahawa  hidupan marin di Labuan masih ‘bernyawa’ dan berkembang biak dengan baik,” kata penyelam berpengalaman itu yang “terserempak” dengan anak jerung tersebut pada 14 Sept lalu.

Selaku penyelam berpengalaman, Tan mampu mengenal pasti spesies jerung hanya dengan meneliliti bentuk badan dan sirip hidupan laut berkenaan. 

Anak jerung sepanjang satu meter itu yang dipercayai berusia beberapa minggu atau bulan, menjadi topik hangat dalam kalangan penyelam dan aktivis pemuliharaan, memperkukuhkan lagi reputasi Labuan sebagai syurga khazanah marin. 

Pulau Rusukan Kecil ialah satu daripada tiga buah pulau di Taman Marin Labuan, terletak kira-kira dua kilometer di selatan Pulau Labuan di Laut China Selatan. Dua lagi ialah Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Besar.

 

PENEMUAN LANGKA DI BAWAH GULUNGAN OMBAK

Bagi kebanyakan orang, menemukan nurse shark merupakan satu peristiwa langka. Justeru, kemunculan anak jerung itu di perairan berkenaan menunjukkan sesuatu yang lebih penting, iaitu habitat yang sihat dan dapat berperanan sebagai tapak nurseri bagi spesies marin.

Presiden Kelab Menyelam Labuan Teoh Ming Woei menyifatkan penampakan itu sebagai peristiwa bersejarah terbaharu dalam penemuan marin di pulau tersebut.

pic-2

“Penampakan nurse shark ini menambahkan lagi daya tarikan aktiviti selaman rekreasi, membolehkan penyelam menghargai kepelbagaian biologi marin,” katanya.  

Beberapa ahli kelab berkenaan turut melaporkan kemunculan yu sirip hitam dan yu cicak di perairan Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Kecil. 

“Spesies berkenaan tidak berbahaya kepada manusia, sebaliknya ia meningkatkan lagi keseronokan pengembaraan bawah air bagi penyelam yang datang ke sini,” kata Teoh.

Ujar beliau, setiap spesies jerung atau yu memainkan peranan dalam menarik kedatangan penyelam dan mengekalkan keseimbangan ekologi.

 

TIDAK BERBAHAYA 

Menurut  Teoh, nurse shark atau  Ginglymostoma cirratum selalunya dipanggil “gergasi jinak” laut.

“Haiwan ini berenang perlahan, berehat di lantai laut dan selalunya tidak berbahaya kepada manusia. Namun ia amat penting dalam mengekalkan ekosistem yang seimbang.

pic-3

“Penampakan anak jerung di sini mungkin menandakan perairan kita ini merupakan kawasan pembiakan yang selamat untuk mereka,” katanya. 

Yu sirip hitam (Carcharhinus limbatus) pula perenang aktif yang selalunya dilihat berhampiran terumbu karang dan perairan cetek.

“Jerung jenis ini merupakan hidupan yang pemalu dan juga dianggap tidak berbahaya. Penyelam seronok tengok yu ini berenang kerana pergerakannya yang anggun dan tangkas,” kata Teoh.

Sementara itu, yu cicak yang merupakan sebahagian daripada keluarga Scyliorhinidae ialah spesies kecil, selalunya tidak sampai satu meter panjang, dan mendiami dasar laut. Lebih gemarkan lantai laut yang berpasir dan berbatu, yu ini tidak berbahaya dan jarang berinteraksi dengan manusia.

"Sekalipun kurang dikenali, kewujudan yu cicak sebagai antara kepelbagaian biologi di sini mengingatkan kita tentang betapa banyaknya spesies marin yang tinggal di perairan Labuan,” katanya.

 

MENINGKATKAN LAGI DAYA TARIKAN EKOPELANCONGAN

Pulau Rusukan Kecil, dikelilingi terumbu karang yang didiami ikan bayan, badut dan bidadari, merupakan antara destinasi kegemaran penyelam. Bersama-sama dengan Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Besar, pulau ini membentuk Taman Marin Labuan, sebuah kawasan yang terkenal dengan terumbu karang belum terusik dan kekayaan khazanah biodiversiti marin.

Pulau Rusukan Kecil juga dipertimbang sebagai tapak bagi sebuah pusat peranginan pelancongan baharu. Penemuan jerung itu baru-baru ini menguatkan lagi gesaan untuk pembangunan lestari, di mana pemuliharaan dan ekopelancongan bergerak seiring.

Teoh berkata penemuan setiap spesies marin baharu datang dengan tanggungjawab.

“Setiap penemuan memberitahu kita bahawa perairan kita masih sihat, dan dengan perlindungan yang tepat ekosistem marin di sini akan terus memberikan pengalaman luar biasa kepada penyelam dan pelawat,” katanya.

Bagi penyelam seperti Tan yang berkunjung ke Labuan untuk selaman rekreasi, nurse shark yang dilihatnya itu menjadikan aktiviti selaman biasa bertukar kepada pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Dengan nurse shark, jerung sirip hitam dan jerung cicak kini  tersenarai sebagai antara spesies ditemukan, pulau itu semakin dikenali sebagai satu daripada destinasi selaman paling menarik di Malaysia.

Ketika Labuan berusaha untuk muncul sebagai pintu masuk pelancongan marin lestari, penemuan itu bukan sahaja menonjolkan kekayaan perairannya tetapi juga janji yang dipegang untuk generasi akan datang.

Bagi Tan, pengalaman melihat nurse shark itu adalah kenangan yang akan diingati sepanjang hayatnya.

“Melihat nurse shark itu mengingatkan saya pada tujuan sebenar kita menyelam... ia bukan sekadar untuk pengembaraan tetapi bagi menyaksikan kehidupan di bawah laut yang mesti kita lindungi.

“Saya berharap para penyelam akan terus menghormati dan memelihara perairan ini supaya generasi akan datang juga berpeluang merasai pengalaman yang sama seperti saya,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan