JENAYAH & MAHKAMAH

Ujian DNA Tentukan Identiti Dua Individu Rentung Dijalankan Esok - Polis

05/10/2025 08:28 PM

KEPALA BATAS, 5 Okt (Bernama) -- Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan identiti dua individu yang rentung selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan sebelum terbabas dan terbakar di Jalan Permatang Baru Sungai Lokan, dekat sini semalam akan dijalankan esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata ahli keluarga kepada kedua-dua individu telah memaklumkan kepada pihak polis butiran mangsa selepas tampil di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) hari ini.

"Namun, kita perlu tunggu ujian DNA yang dijalankan esok bagi mengesahkan identiti kedua-dua mangsa sebelum mayat diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian kerana proses bedah siasat telah selesai.

"Berdasarkan keterangan ahli keluarga, kedua-dua mangsa warga tempatan dan tinggal di Kedah, seorang daripada yang rentung itu adalah pemilik kereta yang terbakar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, media melaporkan identiti seorang daripada dua mangsa rentung dikenal pasti sebagai Mohd Fitri Ahmad, 35, dan perkara itu dimaklumkan ayah mangsa, Ahmad Lin @ Mustafa, 74, ketika hadir ke Unit Forensik HKB pagi tadi.

Semalam, polis memaklumkan identiti dua individu yang rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan sebelum terbabas dan terbakar di Jalan Permatang Baru Sungai Lokan, masih belum dapat dikenal pasti.

Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dengan anggaran peratusan kebakaran 80 peratus, dipercayai berpunca akibat kemalangan jalan raya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan