AM

GSF: Kerajaan Akan Anjur Himpunan Khas Rai Kepulangan 'Wira', 'Wirawati' Kemanusiaan - PM

05/10/2025 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI akan menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan kesemua 23 ‘wira’ dan ‘wirawati’ negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), ke tanah air.

Perdana Menteri berkata himpunan itu juga diadakan bagi terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin.

"Insya-Allah, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur, kita juga akan cuba sesuaikan masa, pada waktu malam, kita buat himpunan sedikit untuk (mereka) kongsikan pengalaman, bagus juga," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook yang disertakan rakaman perbualan bersama delegasi Malaysia di Istanbul, Turkiye.

Pada Khamis lepas, kesemua 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Mereka berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam waktu Malaysia, semalam.

Semalam Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata semua delegasi Malaysia itu dijadual berlepas pulang ke tanah air, esok.

Anwar yang juga merupakan Penaung Sumud Nusantara turut memaklumkan semua rakyat Malaysia berkenaan berada dalam keadaan baik dan bersemangat kental.

Dalam perbualan itu, Anwar berkata beliau turut menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.

“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan," kata beliau.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan