JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang Lagi Mangsa Kemalangan Plaza Tol Bukit Kajang Meninggal Dunia - Polis

05/10/2025 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang meninggal dunia selepas sembilan hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Kajang.

Ketua Polis Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata penjawat awam lelaki berusia 48 itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 pagi tadi.

"Jenazah akan diserahkan kepada keluarga apabila proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Kajang. Ini menjadikan dua maut dalam kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kemalangan pada 27 Sept itu melibatkan sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV), mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun serta menyebabkan tujuh individu cedera.

Polis turut mereman pemandu lori berusia 42 tahun itu hingga 1 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Naazron berkata laporan siasatan kemalangan itu masih dalam proses kerana pihaknya sedang menunggu keputusan analisis penuh daripada agensi berkaitan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan