SUKAN

TRW Tekad Bangkit Hambat Tiga Mata Pertama Di Laman Sendiri

05/10/2025 03:18 PM

KOTA BHARU, 5 Okt (Bernama) -- Kelantan The Red Warriors (TRW) berazam memburu tiga mata penuh pertama bagi musim ini apabila menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam aksi Liga A1 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Ketua jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim berkata selepas lima perlawanan pasukannya masih belum mencatat kemenangan dengan hanya mengumpul tiga keputusan seri dan dua kekalahan.

“Malam esok saya mahu pemain memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mencatat kemenangan pertama musim ini.

“Pemain perlu tampil lebih agresif dan bersemangat di hadapan penyokong sendiri bagi memastikan tiga mata kekal di Kota Bharu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jurulatih berusia 74 tahun itu berkata beliau memberi tumpuan khusus kepada aspek serangan bagi memastikan pasukannya lebih tajam di depan gawang lawan.

“Kami akan cuba mencipta lebih banyak peluang dan memastikan penyudah yang lebih kemas bagi menamatkan kemarau kemenangan. Kami sedar JDT II merupakan pasukan yang kuat, namun kami perlu berjuang habis-habisan untuk mengutip tiga mata penuh,” katanya.

Irfan Bakti turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan anak buahnya untuk bangkit dan memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga A1.

“Kami baru melalui lima perlawanan, masih ada 25 lagi. Dengan beberapa perubahan pemain yang dirancang, saya percaya pasukan ini akan menjadi lebih baik selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan