DUNIA

Ringgit, Mata Wang Pesat Membangun Dijangka Meningkat Susulan Kelemahan Dolar AS

03/10/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit dijangka mendapat manfaat daripada jangkaan bahawa dolar Amerika Syarikat (AS) akan terus merosot dalam persekitaran ketidaktentuan ekonomi yang berpunca daripada penutupan kerajaan AS.

Pakar Pelaburan Prinsipal Jaminan Kredit dan Kemudahan Pelaburan Khoo Jo Ee berkata penutupan kerajaan AS itu boleh melewatkan pengeluaran data ekonomi AS yang penting mencetuskan ketidaktentuan dan menimbulkan jangkaan bahwa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan lagi kadar faedah.

Beliau berkata kestabilan ringgit dilihat sebagai tanda keyakinan pasaran dan boleh mengukuhkan permintaan bagi bon domestik.

“Terdapat cadangan nilai bagi syarikat untuk menerbitkan bon mata wang tempatan kerana kadar kekal menggalakkan dan bukannya mengambil hutang mata wang asing yang menimbulkan risiko ketidakpadanan mata wang,” katanya pada Forum RAM 2025: “Building Resilience and Future-Proofing Amid Shifting Sands”.

Khoo berkata demikian pada sesi bertajuk "Everything Everywhere All At Once, Risks and Opportunities in the Real and Financial Economy" dengan Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Affin Bank Bhd Alan Tan bertindak sebagai moderator forum tersebut.

Walaupun penutupan kerajaan AS itu mungkin akan menyebabkan turun naik ke dalam pasaran kewangan global dengan potensi kesan ke atas pasaran modal Malaysia, pasaran domestik kekal disokong oleh asas kukuh, katanya.

Ini termasuk usaha penyatuan fiskal, lebihan akaun semasa dan infrastruktur kewangan Islam dibangunkan, menjadikannya menarik kepada pelabur institusi yang mencari aset mata wang tempatan, katanya.

Menerusi mudah tunai dan penyertaan institusi yang kukuh, beliau berkata pasaran bon dan sukuk Malaysia dijangka menyediakan akses yang mencukupi kepada korporat kepada korporat, pada masa sama memberi perlindungan daripada ketidaktentuan fiskal AS berpotensi berlaku.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata memandangkan AS menguasai pasaran pengguna terbesar dunia, Malaysia mesti harus mempelbagaikan destinasi eksportnya dalam keadaan pertumbuhan yang perlahan di AS dan China.

Beliau berkata kerajaan telah memberi isyarat bahawa usaha untuk meluaskan akses pasaran melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan rangka kerja kerjasama serantau, bagaimanapun cabaran kekal dalam memastikan perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) boleh mendapat manfaat.

"Rundingan adalah satu perkara tetapi pelaksanaan mungkin mengambil masa. Peralihan ekonomi, perubahan amalan perniagaan dan peraturan yang berubah bermakna syarikat mesti perlu membina kapasiti dengan sokongan kerajaan untuk memudahkan proses itu. Secara keseluruhan, langkah tarif dan bukan tarif kekal penting dalam perbincangan perdagangan," tambahnya.

Mohd Afzanizam berkata walaupun AS dilihat semakin bertindak agresif dan kadangkala rundingan dilakukan dtidak diberi perhatian, apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap negara menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

"Justeru, situasi ini mewujudkan peluang untuk institusi kewangan menyokong dan membiayai syarikat dalam pengembangan mereka," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan