KUALA NERUS, 3 Okt (Bernama) -- “Ma kalau jadi apa-apa misalnya kena tangkap, Ma janganlah ‘debor’ (susah hati),” itulah pesan Ustaz Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecil kepada ibunya, kira-kira 30 minit sebelum ditahan tentera Israel petang semalam.
Ibunya, Noor Aini Mamat, 59, berkata anak keempat berusia 32 tahun itu sempat membuat panggilan video kira-kira 3.30 petang yang menyatakan kemungkinan akan ditahan seperti peserta lain dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
“Semasa dipanggil untuk menyertai misi ini pun dia beritahu makcik sekiranya ditakdirkan dia meninggal dunia makcik perlu reda dan kami akan bertemu semula di Padang Mahsyar nanti,” katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini hari ini.
Noor Aini bersama tiga ahli keluarga bertolak ke Kuala Lumpur pagi tadi bagi mengikuti situasi semasa mengenai Muhammad yang sebelum ini belayar bersama kapal Fair Lady dan peserta misi GSF yang lain.
Dalam pada itu, dia juga pernah menyuarakan hasrat untuk turut serta dalam misi kemanusiaan GSF namun tidak dibenarkan oleh Muhammad kerana bimbang mereka tidak dapat belayar dalam kapal yang sama.
“Makcik beritahu dia kalau boleh nak ikut juga sebab ingin membantu saudara di Gaza tetapi Muhammad tidak benarkan kerana bimbang kami akan terpisah kapal,” katanya yang hilang selera makan sejak mengetahui anaknya itu ditahan.
Noor Aini berharap tentera rejim Zionis tidak mengapa-apakan Muhammad dan anaknya dapat segera pulang ke Terengganu dengan selamat, serta kembali menguruskan madrasah yang diusahakannya di Kampung Dura di Hulu Terengganu.
Walaupun bertubuh kecil, Muhammad memiliki jiwa yang besar dengan menyertai pelbagai misi kemanusiaan termasuk ke Syria, Kemboja dan Sabah.
“Dia memang gemar bantu orang susah tidak kira di Malaysia atau luar negara. Dia akan bawa pelbagai makanan dan keperluan yang dibelinya di sini (Terengganu). Cumanya dia beritahu misi kali ini (GSF) lain daripada sebelum ini tetapi dia tetap bersemangat untuk pergi,” katanya.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Kementerian Luar mengesahkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial