KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Penahanan rakyat Malaysia oleh tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza mencetuskan reaksi pantas kerajaan Malaysia dalam menggerakkan usaha diplomatik bagi memastikan pembebasan segera sukarelawan dan aktivis negara.
Prihatin terhadap nasib rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mengadakan rundingan dengan pemimpin dunia termasuk rakan sejawatnya dari Turkiye, Mesir dan Arab Saudi, selain merancang untuk mengadakan perbualan terus dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio bagi menuntut campur tangan segera Washington.
Sebagai penaung misi Sumud Nusantara, Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri dan menyifatkan tindakan Israel menahan aktivis antarabangsa dan menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza sebagai bukti jelas keruntuhan nilai kemanusiaan sejagat.
Setakat 10 malam tadi, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 aktivis Malaysia telah ditahan tentera Israel pada 4.25 petang selepas komunikasi terputus serta visual menunjukkan penahanan mereka.
Sani Araby turut memaklumkan pasukan perundangan Malaysia di Jordan berada dalam keadaan siap siaga untuk menjadi wakil dalam sebarang proses soal siasat dan tindakan susulan berkaitan.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Yang lain termasuk Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Sementara itu di Kota Tinggi, Johor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan diplomatik dilihat sebagai langkah paling sesuai serta wajar digunakan dalam mengendalikan isu penahanan rakyat Malaysia bagi memastikan keselamatan dan nyawa mereka terpelihara.
Beliau berkata pendekatan ketenteraan tidak boleh menjadi pilihan, kerana ia berisiko mengancam keselamatan dan nyawa sukarelawan yang kini dalam tahanan pihak berkuasa Israel.
Malah katanya Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dengan Israel, justeru usaha rundingan melalui pihak ketiga amat penting dalam memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat.
Di ibu negara pula, ribuan rakyat Malaysia berhimpun secara aman dalam Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan AS bagi menyatakan solidariti terhadap para aktivis dan menuntut campur tangan AS dalam membebaskan tahanan serta membuka laluan bantuan ke Gaza.
Laungan “Allahuakbar” dan “hancur Israel” bergema di Jalan Tun Razak ketika lebih 5,000 peserta berhimpun dan menyerahkan memorandum tiga tuntutan utama kepada wakil kedutaan.
Memorandum itu antara lain menuntut pembebasan segera semua aktivis GSF, desakan agar Israel membenarkan kapal bantuan memasuki Gaza, serta memastikan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak menggagalkan proses damai yang sedang dijalankan.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim, himpunan tersebut membuktikan bahawa isu Palestin merentasi batas politik dan agama di Malaysia, dan menjadi tanggungjawab bersama demi kemanusiaan sejagat.
Beberapa negeri termasuk Perak dan Kelantan turut berhimpun dengan satu misi sama iaitu menyatakan sokongan padu terhadap perjuangan aktivis GSF.
Malam ini turut menyaksikan beberapa masjid dan surau seluruh negara mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan aktivis misi GSF yang ditahan.
Anadolu Ajansi melaporkan aktivis antarabangsa yang ditahan dalam konvoi bantuan kemanusiaan menuju Gaza akan dihantar pulang ke Eropah selepas flotila itu dipintas tentera Israel.
Menurut agensi berita antarabangsa itu, sekurang-kurangnya 317 aktivis daripada 21 kapal telah ditahan oleh tentera Israel berdasarkan data penjejak flotila.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial