KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Sebanyak 118 khemah baharu dipasang bermula malam ini sempena penganjuran Bazar Deepavali di Brickfields bagi menggantikan khemah yang roboh akibat hujan lebat dan angin kencang semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata berlaku salah faham berhubung isu pemberian khemah kepada para peniaga, namun ia sudah diselesaikan dengan penggantian khemah yang lebih besar dan kukuh.
“Jumlahnya tetap sama, tiada penambahan lagi. Khemah yang roboh bersaiz 8x8 kaki tetapi kami minta supaya digantikan dengan khemah bersaiz 10x10 kaki,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bagi sesi 2025-2028 di sini malam ini.
Mengulas dakwaan terdapat peniaga yang tidak berpuas hati dengan sistem cabutan undian bagi tapak bazar, Dr Zaliha berkata ia dilaksanakan secara lebih telus.
“Kami laksanakan sebaik mungkin untuk kekalkan pemberian itu seperti yang telah dilaksanakan pada Bazaar Ramadan dan juga Aidilfitri tetapi mungkin ada sedikit pengubahsuaian untuk memastikan mereka yang berminat ataupun ada niat untuk berniaga itu diberikan keselesaan,” katanya.
Semalam, peniaga di bazar itu mengkritik khemah sedia ada yang didakwa terlalu kecil, tidak berkualiti dan perlu diganti dengan saiz lebih besar.
Perkara itu turut mendapat perhatian Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan yang menyifatkan khemah berkenaan sebagai tidak kukuh dan tidak sesuai ditempatkan di jalan utama yang terkenal dengan kesesakan trafik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial