SEREMBAN, 30 Sept (Bernama) -- Sabah FC menempah tiket ke suku akhir Piala FA selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan menentang Bunga Raya FC pada aksi kedua Pusingan 16 di Stadium Tuanku Rahman Paroi, petang ini.
Perlawanan berlangsung di sini selepas aksi di Stadium Likas, Sabah pada 13 Sept lepas terpaksa dihentikan akibat faktor cuaca.
Dengan kelebihan enam gol menerusi perlawanan pertama di tempat sama pada 17 Ogos lepas, Sabah FC tidak berdepan masalah untuk menguasai keseluruhan perlawanan dan tampil dengan persembahan lebih meyakinkan berbanding pasukan pelawat.
Sang Badak mendapat beberapa peluang menjaringkan gol terutama menerusi Kumaahran Sathasivam dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew namun gagal menembusi benteng Bunga Raya FC sekali gus menamatkan separuh masa pertama tanpa sebarang jaringan.
Memasuki babak kedua, skuad kendalian Jean-Paul de Marigny itu terus meningkatkan intensiti permainan dengan melancarkan beberapa percubaan ke gawang lawan, namun masih buntu mencari sentuhan penyudah sehingga tamat perlawanan.
Keputusan seri tanpa gol itu menyaksikan Sabah FC mara ke suku akhir dengan agregat 6-0 hasil kemenangan besar dalam perlawanan pertama dan bakal berdepan Kelantan The Real Warriors.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial