AM

Starbucks Malaysia Jalin Kerjasama Dengan Tourism Malaysia Promosi TMM2026

30/09/2025 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Starbucks Malaysia memeterai kerjasama dengan Tourism Malaysia dalam perkongsian strategik bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pelancaran kerjasama itu berlangsung hari ini di Starbucks Reserve Shoppes, Four Seasons Place yang bakal memperkenalkan barangan eksklusif serta minuman dan makanan berinspirasikan tempatan bagi meraikan warisan budaya Malaysia dan mempromosikan kempen TMM2026 di peringkat global.

Bertema ‘Surreal Experiences’, TMM2026 dengan dua maskot beruang matahari Malaya, Wira dan Manja, menerusi kerjasama ini, Starbucks akan menyerlahkan keunikan Malaysia dengan menerapkan budaya kopi global bercita rasa dan berciri tempatan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata kerjasama dengan Starbucks Malaysia menunjukkan bagaimana jenama tempatan dan antarabangsa mampu bersatu untuk menonjolkan kekayaan dan kepelbagaian Malaysia.

“Dengan menggabungkan penceritaan kreatif, penjenamaan ikonik dan cita rasa Malaysia yang tersendiri, kami yakin kerjasama ini akan memberi inspirasi kepada warga tempatan dan pelancong untuk meneroka serta meraikan perkara terbaik tentang negara kita menjelang TMM2026,” katanya

Kolaborasi itu akan dijalankan secara berfasa mulai Oktober 2025 dengan gelas atau ‘tumbler’ edisi terhad yang boleh didapati di Starbucks Reserve Shoppes sebelum diperluas ke lapangan terbang dan kedai terpilih di seluruh negara. Minuman buatan khas yang meraikan cita rasa tempatan juga akan diperkenalkan.

Mulai 2026, pelanggan boleh menjangkakan lebih banyak pelancaran termasuk pemilihan makanan berkonsepkan bungkus yang diinspirasikan oleh hidangan klasik Malaysia, rantai kunci patung ‘plush’ Wira dan Manja edisi Starbucks serta Kad Tahun Melawat Malaysia 2026 Starbucks.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Bhd Datuk Sydney Quays berkata Starbucks berbesar hati untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam inisiatif bermakna itu.

"Dengan membawa Pengalaman Starbucks ke barisan hadapan kempen ini, kami menyasarkan untuk melengkapkan pengalaman nyata TMM2026 dengan momen bermakna di cawangan kami. Selain meraikan Malaysia bersama pelanggan kami di sini dan di seluruh dunia, kami berharap kerjasama ini turut menyokong cita-cita Tourism Malaysia di bawah TMM2026," katanya.

Kerjasama sepanjang tahun itu akan menampilkan idea baharu setiap suku tahun, termasuk kerjasama dengan artis dan komuniti tempatan.

Starbucks juga merancang untuk memperkenalkan cawangan utama di seluruh Malaysia, diletakkan sebagai destinasi budaya yang mempamerkan hiasan eksklusif, pengalaman mendalam dan tawaran kempen sahaja.

Menurut Starbucks Malaysia dan Tourism Malaysia, lebih banyak pengumuman dan pelancaran produk akan diumumkan menghampiri TMM2026.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan