AM

Ibu Abdul Fattah Harap Tiada Kejadian Sama Berlaku Kepada Murid Lain

29/09/2025 07:38 PM

SEREMBAN, 29 Sept (Bernama) -- Insiden menimpa Abdul Fattah Khairol Rizal yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai diharapkan menjadi iktibar supaya penekanan segera diberikan terhadap penambahbaikan aspek keselamatan infrastruktur di kawasan sekolah.

Ibu mangsa Norfazila Md Lajin, 43, memohon pihak berwajib mengambil tindakan segera termasuk menggantikan penutup lubang kumbahan kepada yang lebih kukuh dan memasang jeriji keselamatan di kawasan berisiko untuk keselamatan murid.

“Cukuplah anak saya sudah tiada, jangan sampai ada nyawa lain terkorban. Saya berharap sangat pihak berkuasa dapat segera menambah baik aspek keselamatan di sekolah bagi mengelakkan tragedi berulang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berkongsi keperibadian Abdul Fattah, Norfazila berkata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu merupakan anak lelaki tunggal daripada empat beradik dan seorang yang manja, patuh agama serta mendengar cakap.

Guru di sebuah sekolah menengah itu menyifatkan kehilangan tersebut amat sukar diterima malah sehingga kini masih bersedih memandangkan arwah anak yang paling ceria dan aktif.

“Sebelum arwah ke sekolah, saya sempat membuat sarapan mi hailam dan susu. Kebiasaannya, dia susah hendak makan tetapi pagi itu dia berselera sehingga seronok tengok dia makan. Tidak sangka itu kali terakhir Abdul Fattah makan bersama-sama kami,” katanya.

Norfazila juga bersyukur dan berbesar hati dengan sokongan pelbagai pihak termasuk warga sekolah serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang menziarahi keluarganya.

Sebelum ini, Abdul Fattah dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika menghadiri program olahraga di sekolah berkenaan, Sabtu lepas.

Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dilaporkan akan mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi itu. 

Fadhlina berkata laporan lengkap siasatan akan dikemukakan segera untuk tindakan lanjut bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan