JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Sarawak Rampas Pelbagai Barangan Bernilai RM8.13 Juta

29/09/2025 07:32 PM

KUCHING, 29 Sept (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak melumpuhkan kegiatan penyeludupan dan menyimpan pelbagai barangan tanpa cukai serta menjual barang kawalan bersubsidi dalam 15 siri operasi dari 17 hingga 28 Sept, melibatkan rampasan bernilai RM8.13 juta.

Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata barangan tersebut melibatkan produk sejuk beku termasuk daging dan sosej, rokok, minuman keras, gula, minyak masak, mercun, tong gas dan minyak diesel. 

Beliau berkata menerusi pelaksanaan Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Awas/Batas itu, pihaknya menahan 34 individu termasuk empat warga asing di 12 lokasi di seluruh negeri itu.

Antara yang dirampas ialah 14.8 tan produk sejuk beku, 12,574 karton rokok, 19,318 liter minuman keras pelbagai jenama, 13,000 liter minyak diesel bersubsidi, empat tong gas bersubsidi, empat tan gula, 750 kilogram minyak masak dan 23 kotak mercun. 

Turut dirampas kenderaan digunakan suspek termasuk motosikal, kenderaan pacuan empat roda, lori, van dan forklift.

Beliau berkata operasi selama hampir dua minggu itu dilaksanakan antaranya di Tebedu, Julau, Lundu, Padawan, Kuching, Kota Samarahan, Simunjan, Serian, Bau, Sibu dan Limbang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan