AM

JAPEN Ketengah Pendekatan Berbeza Dalam Kampung Angkat MADANI, PENTARAMA Di SMK Seri Medan

29/09/2025 05:40 PM

BATU PAHAT, 29 Sept (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JAPEN) mengetengahkan pendekatan berbeza menerusi program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan PENTARAMA X Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan, di sini, dengan pengisian lebih menarik dan berfokus.

Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan berkata program kali ini menekankan dua aspek utama, iaitu pendidikan dan pembangunan komuniti, dengan gabungan elemen hiburan serta semangat cintakan negara.

Beliau berkata pengisian program turut menekankan isu penolakan budaya buli dalam kalangan pelajar serta memberi pendedahan mengenai hala tuju selepas tamat persekolahan.

“Memandangkan lokasi yang dipilih adalah sekolah, saya lebih pentingkan pendedahan tentang hala tuju pelajar setelah tamat persekolahan masing-masing serta menekankan khidmat komuniti.

“Antaranya, elemen ‘road to university’ dan bakti kepada komuniti, disesuaikan dengan bidang yang dipelopori serta penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan,” katanya kepada pemberita pada program berkenaan yang turut dihadiri Pengetua SMK Seri Medan, Masrom Rahmat.

Julina berkata melalui inisiatif JAPEN, dua projek pembangunan fizikal berimpak tinggi dilaksanakan di SMK Seri Medan iaitu menaik taraf sebuah kelas menjadi makmal komputer serta pemasangan kipas di dewan terbuka sekolah berkenaan.

“JAPEN turut menyalurkan manfaat kepada komuniti sekitar Sri Medan dengan pembinaan tambahan blok di Masjid Pekan Sri Medan yang kini memasuki fasa awal kerja di tapak dan reka bentuk, dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata penganjuran program seumpama itu mencerminkan pendekatan kerajaan untuk memastikan manfaat dan kesejahteraan terus dinikmati rakyat.

“Pembangunan memerlukan semangat kebersamaan, dan pelaksanaan Kampung Angkat MADANI ini memberi manfaat besar hasil kerjasama erat agensi pusat (JAPEN) dan negeri seperti kerajaan Johor, pejabat pendidikan daerah serta Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan