KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Selepas kali terakhir menjulang kejuaraan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) pada 2018, kontinjen Wilayah Persekutuan bertekad untuk kembali muncul juara keseluruhan pada edisi 2025 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak dari 1 hingga 7 Okt ini.
Presiden Sukan Orang Pekak Wilayah Persekutuan Ong Shin Ruenn yang juga Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) berkata pihaknya menyasarkan tujuh pingat emas khususnya dalam acara tenpin boling dan olahraga.
“Sekarang kita hantar 60 atlet dengan sasaran tujuh emas dan kita mahu kembali jadi juara keseluruhan. Lagipun kami ada Raja Pecut Pekak Asia Tenggara, Muhammad Zamir Azman yang baru menang di Jakarta baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan kontinjen Wilayah Persekutuan ke temasya SOPMA, hari ini.
Mengulas mengenai MSDeaf, Shin Ruenn menegaskan pihaknya masih berusaha memastikan SOPMA diiktiraf setaraf dengan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA pada masa hadapan.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebelum ke Jakarta dan masih dalam kajian. Cuma kita berharap bila atlet pekak menang, kita dapat insentif,” katanya.
Sementara itu, majlis hari ini disempurnakan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Wan Azizah memaklumkan beliau telah menyuarakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Hannah agar MSDeaf diberikan dana untuk bergerak lebih efektif dan maklum balas daripada kedua-duanya adalah positif.
Temasya sukan dwitahunan itu yang khusus untuk atlet pekak di Malaysia, bermula pada 1985 sebagai Kejohanan Sukan Antara Kelab Pekak (KSAKP) sebelum dikenali sebagai Sukan Kebangsaan Orang Pekak (SKOP) pada 1990 hingga 2002.
Nama SOPMA digunakan secara rasmi sejak 2003 dan kontinjen Sabah merupakan pemenang keseluruhan edisi terkini pada 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial