KUALA TERENGGANU, 29 Sept (Bernama) -- Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) menyasarkan kelima-lima hospital di bawah rangkaian kumpulan itu mengguna pakai konsep patuh syariah dalam semua aspek operasi pada tahun depan.
Lima hospital berkenaan ialah Kelana Jaya Medical Centre, Kuantan Medical Centre, Kuala Terengganu Medical Centre, Taman Desa Medical Centre dan Tawau Medical Centre.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare Dr Rayney Azmi Ali berkata pihaknya sedang menambah baik semua aspek termasuk fasiliti, petugas dan latihan.
Beliau berkata pada masa sama, KMI Healthcare juga sedang berusaha mendapatkan pensijilan MS ISO 1900:2014, iaitu standard Malaysia bagi Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah selain bekerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi membangunkan rangka kerja patuh syariah.
"Sekarang ini kita ke arah patuh syariah yang kita harap dapat capai dalam awal tahun depan. Ciri-ciri paling utama adalah pada dasar Islam, iaitu amanah, integriti dan kejujuran.
"Selain itu, segala aspek rawatan kepada aspek perniagaan termasuklah dalam pengambilan pinjaman bank, cara menguruskan perniagaan, ubat-ubatan yang kita bekalkan segalanya perlu mengikut landas Islam dan mematuhi syariah," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hospital Mesra Ibadah di Kuala Terengganu Medical Centre di sini hari ini, oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dr Rayney berkata inisiatif hospital mesra ibadah di kelima-lima hospital KMI Healthcare telah dibangunkan sejak 2021 dan diperkemas melalui pelbagai usaha strategik.
Menurut beliau, selain penyediaan kemudahan beribadah yang selesa dan khusus, petugas hospital juga dilengkapi dengan latihan dan ilmu mesra ibadah supaya dapat membantu pesakit yang memerlukan khidmat nasihat dan sebagainya.
Lebih istimewa, KMI Healthcare turut menyediakan bilik khas (silent room) untuk penganut agama selain Islam beribadat mengikut cara mereka sendiri.
"Boleh dikatakan semua hospital mempunyai kemudahan beribadah seperti surau dan sebagainya. Tetapi, keistimewaan hospital KMI ialah kita mempunyai pegawai agama yang berperanan untuk memberikan bimbingan dan petugas yang dilatih untuk membantu pesakit.
"Konsep mesra ibadah KMI Healthcare juga tidak membelakangkan agama lain kerana kita menyediakan kemudahan khas silent room untuk mereka beribadat dengan tenang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial