Oleh Mohd Haidar Ali
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Bermula tengah malam ini, seramai 16 juta rakyat Malaysia akan menikmati manfaat daripada inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Harga itu lebih murah berbanding kadar subsidi pukal sedia ada iaitu RM2.05 seliter, dengan setiap rakyat diberi kelayakan penggunaan sebanyak 300 liter sebulan.
BUDI95 mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 Sept dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati inisiatif itu sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40.
Inisiatif itu, yang merekodkan pembelian RON95 bernilai RM3.7 juta hanya dalam tempoh sehari selepas dilaksanakan, menunjukkan sambutan menggalakkan daripada kumpulan yang layak seperti anggota tentera, polis serta penerima STR.
Sementara itu, pelaksanaan penuh inisiatif tersebut pada tengah malam ini menandakan satu langkah bersejarah, bukan sahaja kerana ia memberi manfaat secara langsung kepada jutaan pengguna malah kerana pendekatannya yang lebih tersasar, telus dan kalis ketirisan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa berdasarkan data penggunaan semasa, 300 liter sebulan adalah mencukupi untuk 98 hingga 99 peratus rakyat Malaysia.
Dengan itu, rakyat biasa yang berulang-alik ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah terus menikmati harga mampu milik manakala kerajaan pula dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi secara besar-besaran.
Malah, BUDI95 juga menutup ruang penyelewengan kerana bukan warganegara dan kenderaan berdaftar asing perlu membayar harga pasaran penuh.
Subsidi pukal lama tidak lagi mampan kerana melibatkan perbelanjaan dana negara kira-kira RM20 bilion setahun pada 2023 dan 2024.
Selain itu, di bawah subsidi pukal lama, lebih 20 peratus petrol turut "bocor" ke tangan pihak yang tidak layak termasuk warga asing dan sektor perniagaan.
Bagi pengguna, BUDI95 menawarkan kaedah transaksi yang mudah dan ringkas kerana hanya memerlukan MyKad serta lesen memandu sah bagi tujuan pengesahan kelayakan secara automatik.
Setiap kali mengisi minyak, pelanggan hanya perlu mengimbas MyKad atau menggunakan aplikasi dompet digital pilihan.
Selain memberi manfaat kepada rakyat, BUDI95 turut dijangka memberikan impak positif kepada ekonomi negara sekali gus mengimbangi kebajikan rakyat dan kestabilan fiskal.
Dengan penjimatan subsidi, kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak dana kepada sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial.
Sebagai satu inisiatif berani, BUDI95 bukan sekadar mengenai harga petrol tetapi menjadi simbol transformasi pengurusan subsidi yang lebih cekap, lebih adil dan lebih lestari malah paling penting, ia menguntungkan rakyat Malaysia.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial