KUCHING, 28 Sept (Bernama) -- Kalimantan Timur, Indonesia dipilih sebagai tuan rumah Sukan Borneo 2027, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata berikutan kejayaan penganjuran edisi kali ini di Bumi Kenyalang, kerajaan negeri akan terus menyalurkan sumbangan serta dana untuk membangunkan sukan di Borneo serta menyokong kerjasama serantau yang mampu meningkatkan mutu atlet.
“Kepada atlet yang datang dari jauh, saya doakan saudara selamat pulang bertemu keluarga dan terus berlatih untuk bersaing di Kalimantan Timur pada 2027. Saya ucap terima kasih kepada Bapa Gabenor (Rudy Mas’ud) kerana sudi menjadi tuan rumah.
“Insya-Allah pada 2027, Sarawak sudah mempunyai syarikat penerbangan sendiri (AirBorneo) untuk kita terbang terus ke Kota Samarinda iaitu pusat Kalimantan Timur. Mungkin juga kita boleh adakan kerjasama antara AirBorneo dengan Royal Brunei Airlines bagi menghubungkan wilayah-wilayah di Borneo ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sukan Borneo Kuching 2025 di sini, malam ini.
Abang Johari berkata penganjuran Sukan Borneo edisi 2025 yang menghimpunkan atlet dari Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam serta Kalimantan Timur, membuktikan semangat persahabatan dan persefahaman antara wilayah di Borneo terus kukuh.
Temasya itu pertama kali dianjurkan pada 1954 di Brunei Darussalam sebagai pentas menyatukan atlet daripada Sarawak, Sabah dan Brunei.
Selepas edisi ke-16 pada 1970, ia terhenti berikutan pelbagai kekangan sebelum dihidupkan semula pada 2005 hingga 2013, dengan penganjuran terakhir di Labuan.
Setelah 12 tahun menyepi, temasya berkenaan kembali dianjurkan di Kuching tahun ini.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam ucapannya berkata keputusan memilih Kalimantan Timur sebagai lokasi penganjuran Sukan Borneo 2027 dicapai sebulat suara pada mesyuarat yang berlangsung semalam.
“Keunikan Sukan Borneo ini ialah tiada had umur berbanding Sukan Malaysia (SUKMA) yang terhad kepada 21 tahun ke bawah, jadi mereka yang pernah bersaing di peringkat kebangsaan masih ada peluang untuk terus beraksi di sini, sekali gus bersedia ke Sukan SEA, malah persiapan ke peringkat Olimpik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial