AM

KPKM Bincang Dengan MOF Isu BUDI95 Libatkan Pesawah

28/09/2025 08:54 PM

TASEK GELUGOR, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu subsidi petrol di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang membabitkan pesawah dan petani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata isu yang dibangkitkan mengenai dakwaan bahawa pesawah tidak menerima subsidi atau jumlah yang diterima tidak mencukupi, telah diteliti secara menyeluruh bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Ya, kita (KPKM) ada menerima aduan berhubung isu BUDI95 yang membabitkan pesawah. Semua aspek telah diteliti dan Ketua Setiausaha Kementerian sedang menyelaras perkara tersebut. Malah, perbincangan dengan Kementerian Kewangan juga telah dibuat bagi mencari jalan penyelesaian.

“Hasil perbincangan telah pun ada keputusan dan saya akan maklumkan secara terperinci selepas ini, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung pelaksanaan BUDI95 yang diperkenalkan kerajaan bagi menyasarkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat, termasuk kebimbangan sama ada ia benar-benar menyentuh realiti keperluan pesawah di sawah bendang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, yang juga Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (Gempita), dilaporkan menyarankan supaya kerajaan mempertimbangkan mekanisme khas seperti kad petrol untuk pesawah.

Cadangan itu, katanya, bagi memastikan golongan tersebut dapat menikmati akses subsidi bahan api mengikut keperluan sebenar kerja sawah dan pertanian yang banyak bergantung kepada penggunaan petrol serta diesel.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa menerusi BUDI95, rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 Sept ini, tanpa mengira tahap pendapatan.

Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter mulai tarikh sama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan