KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah atas pemergian dua kru penggambaran yang maut dalam kemalangan jalan raya di Betong, Sarawak, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi berkata beliau amat berdukacita menerima berita kemalangan yang mengorbankan Ahmad Afiq Mohd Salleh dan mendiang Jaya Ganesh Janarthana, kedua-duanya dari Semenanjung.
"Kru lain masih kritikal di unit rawatan rapi (ICU). Takziah buat keluarga mangsa. Sama-sama kita doakan agar mereka tabah dan sabar berdepan ujian ini,” katanya.
Fahmi berkata jasa dan dedikasi Allahyarham Ahmad Afiq dan mendiang Jaya Ganesh dalam dunia produksi akan sentiasa dikenang.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt Dennis Bunyam mengesahkan kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Klinik Skrang, Betong mengorbankan dua lelaki berumur 48 dan 42 tahun serta menyebabkan 11 yang lain cedera.
Dennis berkata kemalangan kira-kira 12.07 tengah hari itu berpunca daripada sebuah van yang keluar dari Pusingan-P dilanggar kenderaan pacuan empat roda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial