AM

Melaka Jadi Tumpuan Sempena Hari Pelancongan Sedunia Dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025

27/09/2025 08:35 AM

MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Malaysia sekali lagi mengorak langkah besar di pentas antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, yang bermula hari ini hingga Isnin.

Acara anjuran Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kerajaan negeri Melaka itu, menandakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah selepas edisi terakhir lebih dua dekad lepas iaitu pada 2004.

Pemilihan Melaka membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan negeri itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, didukung status bandar Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Bertemakan “Pelancongan dan Transformasi Mampan”, WTD menghimpunkan lebih 150 perwakilan dan delegasi negara anggota, yang akan membincangkan hala tuju baharu sektor pelancongan dengan penekanan terhadap kelestarian, keterangkuman dan inovasi dalam sektor pelancongan.

Selain memacu imej negara sebagai destinasi utama rantau ini, WTD 2025 turut disasar menarik 16.5 juta pelancong dengan unjuran pendapatan pelancongan RM23.48 bilion pada 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab pelancongan serantau.

Seiring dengan agenda utama, pelbagai program sampingan turut dirangka bagi menyemarakkan sambutan antaranya Pesta Layang-Layang Antarabangsa, persembahan seni budaya termasuk tarian zapin dan warisan, dengan jangkaan penyertaan lebih 3,000 orang serta Pesta Konda Kondi Melaka 2025 yang mengetengahkan permainan tradisional.

Turut diadakan Karnival Usahawan Melaka 2025 yang menarik lebih 60 usahawan tempatan dengan sesi padanan perniagaan, yang dijangka menjana transaksi bernilai RM10 juta sepanjang acara berlangsung.

Bagi menambah warna, kerajaan negeri juga menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) melalui dua kategori utama iaitu Gabungan Persembahan Zapin Serentak Teramai Dalam Satu Acara di Malaysia dan Pertandingan Konda Kondi Pertama di Malaysia.

Nilai sejarah turut diraikan menerusi Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique de Malacca, menyingkap kisah anak tempatan yang menjadi individu Asia pertama mengelilingi dunia bersama Ferdinand Magellan pada abad ke-16.

Kemuncak sambutan ialah Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Klebang, malam ini.

Acara itu akan diserikan dengan persembahan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar serta pertunjukan cahaya membabitkan 1,000 dron.

Bagi memastikan kelancaran acara, lebih 600 anggota Polis Diraja Malaysia ditugaskan, manakala tiga bas ulang-alik percuma disediakan dari beberapa lokasi tumpuan seperti Dataran Klebang, Pulau Melaka, kawasan The Seal dan Taman Kota Shah Bandar. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan