POLITIK

Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak Akan Ditambah - PM Anwar

27/09/2025 12:40 AM

TAWAU, 26 Sept (Bernama) -- Kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan ditambah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebelum ini, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 bahawa kedua-dua negeri berkenaan memohon pertimbangan supaya bilangan kerusi Parlimen ditambah.

"Buat kali pertama sejak 1963, Anwar yang sekarang jadi Perdana Menteri mengumumkan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan ditambah," kata beliau ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan bersempena dengan 27 tahun reformasi, di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Sementara itu, Anwar berkata Dewan Undangan Negeri Sabah harus bubar selewat-lewatnya pada 11 Nov ini dan mengingatkan kepada semua pihak agar kekal bersatu padu serta mengelak sebarang permusuhan yang boleh menggugat perpaduan.

"Kita pilih orang Sabah yang baik, kita pilih orang Semenanjung yang baik. Kita pakat kerajaan negeri, Persekutuan yang baik untuk jaga kita, ini yang penting," kata beliau sambil menyatakan Pilihan Raya Negeri itu penting bagi membolehkan rakyat memilih pemimpin yang akan mewakili suara mereka.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi turut mengulangi bahawa Sabah menerima peruntukan pembangunan yang tertinggi dalam sejarah di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan dengan pelbagai bantuan berdasarkan keperluan negeri.

"Tadi, saya di Kota Kinabalu juga sempat melihat kesan banjir, bangunan sekolah, bantu soal tebatan banjir. Saya tengok keperluan tebatan banjir perlu RM39 juta, hari Isnin ini saya (hadir) mesyuarat, saya akan luluskan RM39 juta, itu cara kita,” kata beliau.

Dalam Belanjawan 2025 sebelum ini, Sabah menerima peruntukan pembangunan yang tinggi berjumlah sebanyak RM6.7 bilion sebagai tanda komitmen kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan