AM

UMPSA Raih Endowmen RM87 Juta, Lancar Endowmen Tuanku Canselor

26/09/2025 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mengumpul endowmen berjumlah RM87.02 juta menerusi sumbangan industri dan komuniti pada Majlis Jamuan Teh Tuanku Canselor UMPSA Bersama Industri, hari ini.

Majlis yang menghimpunkan lebih 300 tetamu industri termasuk 49 syarikat antarabangsa, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tempatan itu sekali gus memperkukuh kelestarian kewangan universiti dalam usaha memperkasa penyelidikan serta pengajaran bertaraf global.

Canselor UMPSA Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis berkenaan bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Naib Canselor UMPSA Prof Dr Yatimah Alias.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melancarkan Endowmen Tuanku Canselor yang bakal menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan kebajikan untuk kecemerlangan universiti.

UMPSA sebelum ini memperkenalkan lima bentuk endowmen iaitu Endowmen Kepengerusian, Penyelidikan, Biasiswa, Kebajikan Pelajar serta Komuniti dan Alumni yang menumpukan kepada pemerkasaan kepakaran akademik, penyelesaian keperluan industri dan pembangunan modal insan.

Sementara itu, Zambry menyifatkan kejayaan UMPSA mengumpul endowmen RM87 juta sebagai inisiatif terbaik dalam memperkukuh sumber kewangan universiti awam, selain mengangkat reputasi UMPSA di persada global.

Beliau berkata langkah itu membuktikan kemampuan universiti tempatan menjana pendapatan baharu melalui kerjasama strategik bersama industri, komuniti dan alumni. Kehadiran Sultan Pahang serta Tengku Ampuan Pahang, jelasnya, menunjukkan komitmen besar terhadap universiti.

Mengulas kedudukan UMPSA sebagai sebahagian daripada rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN),  beliau berkata kerjasama dengan industri membuktikan institusi itu dinamik dan relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

“Pendekatan ini memastikan universiti kita kekal inovatif serta mampu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Zambry turut menolak dakwaan universiti awam berdepan krisis hingga terpaksa ‘melelong’ program tidak laku, sebaliknya menegaskan kursus yang ditawarkan sentiasa disesuaikan dengan perkembangan industri.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan