Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 26 Sept (Bernama) -- Lebih 2.6 juta rakyat Indonesia memilih Malaysia sebagai destinasi percutian sehingga Julai tahun ini, kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Beliau berkata Malaysia menerima 4.1 juta pengunjung dari Indonesia pada 2024, meningkat 19.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Angka itu mengekalkan Indonesia sebagai pasaran sumber pelancong terbesar ke Malaysia di kalangan negara ASEAN.
“Pada masa yang sama, seramai 2.2 juta rakyat Malaysia berkunjung ke Indonesia pada 2024, termasuk ke Surabaya,” katanya ketika merasmikan Malaysia Fair 2025 anjuran Tourism Malaysia dan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, seramai 1.6 juta rakyat Indonesia memilih Malaysia untuk rawatan kesihatan pada 2024, peningkatan 14 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinai pelancongan kesihatan yang popular di rantau ini.
Syed Mohamad Hasrin turut mengundang masyarakat Surabaya untuk menikmati pelbagai destinasi menarik di Malaysia seperti keindahan Pulau Langkawi yang diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Global Geopark, hinggalah kepada Kuala Lumpur yang juga adalah salah satu destinasi beli-belah utama dunia.
“Pelancongan bukan sekadar industri, tetapi jambatan persahabatan yang menyatukan rakyat Malaysia dan Indonesia.
Semoga kunjungan ke tanah seberang pada tahun ini menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak lawatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Malaysia Fair 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 28 Sept di Pakuwon Mall menampilkan lebih 19 reruai hospital swasta Malaysia dan 20 reruai agensi pelancongan, termasuk Malaysia Airlines dan Kumpulan Hotel Marriott International.
Syed Mohamad Hasrin diiringi Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Siti Hajar Mohd Yunus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial