AM

EcoWorld, Xiaohongshu Lancar Acara Budaya Dan Gaya Hidup Red Dot Pertama Di BBCC

26/09/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) bekerjasama dengan platform gaya hidup global Xiaohongshu (XHS) melancarkan Cuti-Cuti Kuala Lumpur Red Dot Event iaitu acara budaya, gaya hidup dan ketersambungan digital di Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Bermula dari 27 Sept hingga 31 Okt, acara itu menampilkan pameran warisan Malaysia, kraf tangan artisan, bengkel kreatif, permainan tradisional dan aktiviti ketersambungan digital, di samping ganjaran membeli-belah eksklusif, yang membelawa orang ramai serta pelancong untuk memeriahkan BBCC.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah berkata inisiatif itu mencerminkan visi syarikat untuk mewujudkan ruang-ruang yang meriah bagi menghubungkan komuniti serta memberi pengalaman bermakna di bandar.

“Di EcoWorld, kami percaya dalam bersama-sama mencipta pembangunan yang melangkaui ruang fizikal untuk memberi inspirasi kepada cara hidup, ketersambungan dan pengalaman bandar.

“Kerjasama dengan Xiaohongshu membolehkan kami meraikan budaya, gaya hidup dan ketersambungan digital di tengah-tengah Kuala Lumpur, menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya pada pelancaran EcoWorld x Xiaohongshu Red Dot di BBCC hari ini.

Chang berkata BBCC sentiasa digambarkan sebagai destinasi bandar yang dinamik dan acara itu mencerminkan komitmen syarikat untuk merealisasikan visi berkenaan.

Sorotan Red Dot termasuk Minggu Festival dari 27 Sept hingga 5 Okt di TUAH 1895, yang menawarkan permainan congkak, batu seremban, galah panjang, bengkel membuat tanglung dan batik serta persembahan langsung Gu Zheng pada 5 Okt.

Kempen yang berlangsung di TUAH 1895, The Labs dan LaLaport BBCC itu menampilkan promosi belanja-dan-tebus, aktiviti interaktif dan penglibatan media sosial.

Pengunjung juga boleh menebus barangan edisi terhad Captain Potato dan hadiah lain dengan memenuhi syarat perbelanjaan atau menyertai aktiviti Tangkap, Hantar & Tebus di Xiaohongshu.

Rakan kongsi yang mengambil bahagian termasuk Hock Kee Kopitiam, Ministry of Crab, Chef Kecik Boulangerie, Ting Shan Cuisine, Pak Tok, Crafty’s Bar and Lounge, Luckin Coffee, O’Briens Irish Sandwich Cafe, immersify KL, Padi House x Kaki Lima dan Kirana, selain LaLaport BBCC, Mitsui Outlet Park BBCC dan GSC BBCC LaLaport.

Acara Red Dot akan berlangsung setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam. Untuk maklumat lanjut, layari EcoWorld di Xiaohongshu di https://www.xiaohongshu.com/user/profile/68282457000000000a03fd09 atau ikuti EcoWorld di Facebook dan Instagram (@EcoWorld).

Terdahulu, Chang mengadakan pratonton media di satu daripada pusat pemeriksaan acara yang ditetapkan untuk mempamerkan pengalaman interaktif yang menanti para pengunjung.

XHS, satu daripada platform media sosial dan gaya hidup paling berpengaruh di dunia, mempunyai lebih 300 juta pengguna aktif di seluruh dunia, berfungsi sebagai hab untuk golongan muda yang mencari inspirasi dalam pelancongan, fesyen, kecantikan, makanan dan pengalaman budaya.

BBCC ialah pembangunan bersama seluas 19.4 ekar oleh EcoWorld, UDA Holdings Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang terletak di Segitiga Emas Kuala Lumpur. Ia mengintegrasikan elemen runcit, hiburan, kediaman, perniagaan dan budaya termasuk LaLaport BBCC, Mitsui Outlet Park BBCC, TUAH 1895 dan The Labs.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan