SUKAN

Amarjit Cipta Sejarah Dipilih Naib Presiden UCI

26/09/2025 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada Kongres ke-194 kesatuan itu yang berlangsung di Kigali, Rwanda semalam.

PKBM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan itu menjadikan Amarjit rakyat Malaysia pertama yang menyandang jawatan berkenaan.

Amarjit menyifatkan pemilihannya itu bukan sahaja pencapaian peribadi tetapi juga pengiktirafan perwakilan terhadap peranan Asia yang semakin penting dalam membentuk masa depan berbasikal dunia.

“Pemilihan ini adalah bukti kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh rakan-rakan dalam komuniti berbasikal global, dan saya dedikasikan kejayaan ini demi melayani keluarga berbasikal dunia dengan penuh integriti, inklusiviti dan visi.

“Saya berkomitmen tinggi untuk bekerjasama dengan Presiden UCI David Lappartient, dan rakan-rakan sejawatan bagi memastikan sukan berbasikal terus menginspirasi, menyatukan dan berkembang di setiap benua,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Lappartient pula mengalu-alukan pemilihan Amarjit dan berkata beliau membawa pengalaman luas sebagai Presiden Konfederasi Berbasikal Asia serta visi progresif untuk pembangunan berbasikal dunia.

Beliau berkata kehadiran Amarjit dalam kepimpinan tertinggi UCI mencerminkan suara Asia yang semakin berpengaruh dalam arena global selain yakin dapat memainkan peranan penting dalam memastikan sukan berbasikal terus berkembang.

Kongres UCI kali ke-194 itu turut menyaksikan Lappartient mengekalkan jawatannya untuk penggal ketiga berturut-turut selepas menang tanpa bertanding.

Selain Amarjit, turut dipilih sebagai Naib Presiden UCI bagi penggal 2025–2029 ialah Enrico Della Casa dari Itali, Katerina Nash dari Republik Czech dan José Manuel Pelaez dari Cuba.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan