JENAYAH & MAHKAMAH

Bas Ekspres Bawa 15 Penumpang Terbalik Di Kuala Krai

26/09/2025 10:39 PM

KOTA BHARU, 26 Sept (Bernama) -- Sebuah bas ekspres yang membawa 15 penumpang termasuk pemandu terbalik dalam kejadian di Kampung Batu Balai, Jalan Kuala Krai–Kota Bharu, awal pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata panggilan kecemasan diterima melalui sistem MERS pada 5.30 pagi daripada orang awam.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian dan BBP Kuala Krai segera digerakkan ke lokasi dan tiba pada 5.54 pagi. 

"Setibanya di tempat kejadian didapati terdapat kemalangan melibatkan sebuah bas dengan jumlah keseluruhan mangsa 15 orang termasuk pemandu. Dua mangsa dilaporkan tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi menyelamat masih diteruskan dengan kekuatan 13 anggota bersama tiga jentera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata bas itu dipandu seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur menghala ke Rantau Panjang, Pasir Mas.

Beliau berkata tiba-tiba bas itu hilang kawalan, menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan dengan baik dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan terbalik.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kedua seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun mengalami kecederaan ringan dan dua penumpang telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapat rawatan.

“Pemandu pertama bersama 11 penumpang lain, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

Sehubungan dengan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Amirul Izham Azian menerusi talian 09-9666222.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan