AM

Tindakan Kerajaan Itali, Sepanyol Bantu Flotila GSF Perlu Jadi Inspirasi - Amanah

25/09/2025 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Tindakan Itali dan Sepanyol menghantar kapal tentera laut bagi membantu misi kemanusiaan Flotila Sumud Global (GSF) ke Gaza wajar menjadi inspirasi bahawa solidariti terhadap Palestin tidak mengenal sempadan bangsa, agama dan benua.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah berani itu membuktikan masih ada negara yang sanggup mengambil risiko demi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin yang terkepung.

“Amanah menyokong tindakan Itali dan Sepanyol yang menghantar kapal tentera laut mengiringi flotila ke Gaza selepas serangan dron baru-baru ini.

“Kedua-dua negara itu membuktikan mereka bukan sekadar beretorik, sebaliknya menunjukkan keberanian moral melalui tindakan nyata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan tragedi kemanusiaan di Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia dan sewajarnya negara lain, khususnya dunia Islam, tidak terus bergantung kepada kuasa besar yang hanya mementingkan kepentingan geopolitik masing-masing.

Katanya negara lain perlu tampil dan bertindak dengan keberanian yang sama seperti Itali dan Sepanyol kerana inilah masa untuk membuktikan bahawa dunia benar-benar peduli terhadap nasib Palestin, bukan sekadar melaungkan slogan di pentas persidangan.

"Lebih malang, dunia Arab yang sepatutnya menjadi benteng utama umat Islam masih terus bergantung harap kepada Amerika Syarikat, ibarat menunggu sisik tumbuh pada ikan keli, sesuatu yang mustahil.

“Harapan sebegitu hanya melemahkan diri sendiri, sedangkan masa depan Palestin menuntut keberanian, kesatuan dan tindakan tegas daripada saudara seagama mereka,” katanya.

Mohamad menegaskan rakyat Palestin berhak hidup aman serta mendapat akses kepada makanan, ubat-ubatan dan kebebasan daripada kepungan yang zalim.

Terdahulu, Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaru yang mengancam keselamatan GSF pada Selasa dan menggesa laluan selamat tanpa halangan diberikan kepada peserta serta kapal misi itu.

Menurut kementerian itu, Malaysia menegaskan semula bahawa GSF adalah misi kemanusiaan sah di sisi undang-undang dan amat penting dari segi moral berikutan genosid serta kebuluran yang berlaku di Palestin.

Misi GSF disertai lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia, dengan hampir 70 kapal membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan. Ia dijadual tiba di perairan Gaza hujung bulan ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan