EKONOMI

Perdagangan ASEAN +3 Cecah US$1.2 Trilion Pada 2024 - Tengku Zafrul

24/09/2025 04:01 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Perdagangan antara ASEAN dan rakan Plus 3 iaitu China, Jepun dan Korea Selatan, mencecah US$1.2 trilion pada 2024, menyumbang 31.7 peratus daripada jumlah perdagangan perkumpulan itu.

Manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari negara-negara itu ke ASEAN berjumlah US$44.4 bilion, mewakili hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI ke rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

“Angka-angka ini menunjukkan kepentingan perkongsian berterusan kita,” katanya dalam ucapan perasmian Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Plus 3 yang diadakan bersempena AEM ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan, di sini, hari ini. 

Sesi tersebut dihadiri menteri-menteri ekonomi ASEAN dan rakan sejawatan dari negara Plus 3 iaitu Naib Menteri Perdagangan China Yan Dong, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI) Muto Yoji, dan Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo serta para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

Tengku Zafrul, yang mempengerusikan Mesyuarat AEM tahun ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia, melahirkan keyakinan semangat kolaborasi bersama ASEAN-+3  akan menjadi lebih produktif dan dinamik yang seterusnya memberi manfaat besar kepada perniagaan.

Beliau berkata sejak dimulakan pada 1997, rangka kerja Kerjasama Ekonomi ASEAN-+3  telah berkembang pesat dan membawa banyak faedah.

“Bagi pihak ASEAN, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua menteri dan delegasi Plus 3 atas kerjasama yang berterusan dan juga kepada Sekretariat ASEAN atas sokongan padu dalam memajukan agenda ekonomi bersama kita,” katanya.

--  BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan