DUNIA

Juri Dapati Lelaki Bersalah Cuba Bunuh Trump Di Padang Golf

24/09/2025 02:32 PM

WASHINGTON, 24 Sept (Bernama-Xinhua) -- Juri di Florida mendapati Ryan Routh bersalah  pada Selasa  kerana cuba membunuh Donald Trump setahun lalu di sebuah padang golf, lapor Xinhua.

Cubaan membunuh calon presiden Parti Republikan ketika itu berlaku hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya November 2024, dan dua bulan selepas satu lagi cubaan bunuh di Pennsylvania apabila telinga Trump cedera terkena tembakan.

Routh, 59, disabitkan kesalahan cubaan membunuh seorang calon presiden utama, menyerang pegawai persekutuan, serta tiga kesalahan berkaitan senjata api persekutuan susulan insiden pada 15 Sept 2024. Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup pada prosiding hukuman akan datang.

Hakim Aileen Cannon dari Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) di Daerah Selatan Florida mengendalikan perbicaraan itu, di mana Routh bertindak sebagai peguam bela bagi dirinya sendiri.

“Keputusan bersalah hari ini terhadap Ryan Routh, yang cuba membunuh Trump, menggambarkan komitmen Jabatan Kehakiman untuk menghukum mereka yang terlibat dalam keganasan politik,” kata Peguam Negara AS Pamela Bondi dalam satu kenyataan.

Trump pula menyifatkan keputusan itu sebagai “satu detik besar untuk KEADILAN DI AMERIKA” menerusi satu hantaran di media sosial.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan