DUNIA

Lubang Benam Sedalam 50 Meter Muncul Di Daerah Dusit

24/09/2025 01:03 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 24 Sept (Bernama) -- Sebuah jalan utama di Daerah Dusit, Bangkok, mendap pada pagi Rabu, menyebabkan terbentuknya lubang benam sedalam kira-kira 50 meter di hadapan Hospital Vajira.

Menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), kejadian mendap di Jalan Samsen itu berlaku sekitar 6.30 pagi, menjejaskan utiliti awam dan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk.

BMA berkata pemeriksaan awal mendapati mendapan berlaku berhampiran bangunan hospital, mengakibatkan dua tiang elektrik dan sebuah trak angkat susun milik Balai Polis Metropolitan Samsen terjatuh ke dalam lubang benam itu.

BMA dalam satu kenyataan pada Rabu berkata arahan pengosongan bangunan telah dikeluarkan kepada penduduk pangsapuri berhampiran. 

“Pegawai Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan kini berada di lokasi untuk menangani situasi. Pihak berkuasa telah mula memindahkan pesakit dan penduduk di kawasan sekitar demi keselamatan.

Laluan trafik dari Persimpangan Vajira ke Persimpangan Sanghi dan kawasan sekitarnya ditutup berikutan mendapan itu, yang menjejaskan utiliti awam berhampiran dan berpotensi membahayakan pengguna jalan raya.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini. 

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt melawat lokasi kejadian untuk meninjau serta menilai keadaan, selain menyelaras bantuan bagi menangani masalah jalan mendap itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan