EKONOMI

Pasaran Sedang Pesat Membangun Di Rantau MENA, Asia, Enjin Utama Pertumbuhan Masa Depan - WEF

24/09/2025 12:53 AM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pasaran sedang pesat membangun dijangka menjadi enjin utama pertumbuhan pada masa depan, dengan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), Asia Selatan, Asia Timur dan Pasifik dilihat sebagai mempunyai potensi yang besar, demikian menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Menurut laporan Tinjauan Ketua Ahli Ekonomi WEF yang dikeluarkan hari ini seorang daripada tiga ketua ahli ekonomi menjangkakan pertumbuhan yang kukuh atau sangat kukuh di rantau tersebut.

"Tinjauan bagi China lebih bercampur-campur, dengan 56 peratus ketua ahli ekonomi menjangkakan pertumbuhan sederhana, walaupun tekanan deflasi dijangka berterusan. Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka kekal stabil di ekonomi maju," katanya.

Sementara itu, WEF melaporkan 72 peratus ketua ahli ekonomi yang dikaji selidik itu menjangkakan ekonomi global akan menjadi lemah tahun depan, di tengah-tengah gangguan perdagangan yang semakin meningkat, ketidaktentuan dasar dan perubahan teknologi yang semakin pantas.

Ketua ahli ekonomi bersetuju bahawa gangguan hari ini adalah berbentuk struktur dan bukannya kitaran, dengan majoriti menjangkakan gangguan jangka panjang dalam sumber asli dan tenaga (78 peratus), teknologi dan inovasi (75 peratus), perdagangan dan rantaian nilai global (63 peratus) dan institusi ekonomi global (63 peratus).

"Ini menandakan satu anjakan penting. Ekonomi global tidak begitu banyak mengharungi kejutan terpencil seperti penjajaran semula, meningkatkan kepentingan untuk bentuk kepimpinan baharu, kerjasama dan daya tahan," katanya.

Sementara itu, laporan tinjauan tersebut menyatakan dolar AS menyusut lebih daripada 10 peratus sejak Januari tahun ini, penurunan paling teruk sejak 1973.

Sebanyak 78 peratus daripada ketua ekonomi yang dikaji selidik menjangkakan dolar akan terus lemah pada tahun depan.

"Walaupun ini memberikan fleksibiliti dasar monetari yang lebih besar kepada ekonomi sedang pesat membangun dan ekonomi membangun, ia juga menguatkan kesan domestik tarif di AS dengan menaikkan lagi kos import," kata laporan itu.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan