AM

237 Premis Makanan Di Melaka Terima Pengiktirafan Bersih Dan Selamat

23/09/2025 02:35 PM

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Sebanyak 237 premis makanan di Melaka menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) setakat Julai tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata lebih membanggakan, dua premis dari negeri itu turut meraih kejayaan di peringkat kebangsaan dalam Anugerah Medan Selera Bersih dan Selamat 2024.

“Sebagai negeri pelancongan bersejarah, kerajaan Melaka mengangkat aspek kebersihan dan keselamatan makanan sebagai agenda utama demi menjamin kepuasan serta keyakinan pelancong.

“Atas dasar itu, pemerkasaan Program BeSS diberi tumpuan sebagai satu daripada inisiatif penting untuk memastikan penyediaan makanan yang selamat, berkualiti dan berdaya saing, khususnya di kawasan tumpuan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat Melaka 2025 anjuran Jabatan Kesihatan Melaka di sini hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 60 pengusaha makanan di Melaka menerima pelbagai pensijilan dan pengiktirafan di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Ab Rauf berkata hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati keadaan kesihatan penduduk Melaka terutama golongan dewasa agak membimbangkan ketika ini.

Beliau berkata 33.5 peratus golongan dewasa mengalami kolesterol tinggi, 29.5 peratus menghidap hipertensi dan 20.5 peratus mengalami diabetes iaitu kadar diabetes kedua tertinggi di Malaysia.

“Angka ini bukan sekadar data semata-mata, tetapi satu peringatan bahawa isu keselamatan makanan dan pemakanan sihat perlu diberi perhatian serius. 

“Ia menuntut tindakan bersama yang lebih sistematik, berasaskan sains dan berpaksikan tanggungjawab kolektif agar kesihatan rakyat dapat dilindungi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata hanya empat kes keracunan makanan direkodkan di Melaka setakat ini berbanding 12 kes tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan