KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan mekanisme subsidi RON95 yang baharu akan menyediakan sokongan jangka pendek untuk industri automotif.
Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata langkah kerajaan menurunkan harga petrol RON95 bersubsidi kepada RM1.99 seliter bermatlamat untuk mengekalkan kemampuan bahan api bagi rakyat Malaysia.
“Langkah ini dijangka menyokong permintaan bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) secara pasaran besar-besaran.
"Dengan subsidi dihadkan kepada 300 liter sebulan bagi setiap warganegara iaitu satu paras yang tidak akan dicapai lebih 99 peratus pemandu selain penggunaan kereta sebahagian besarnya masih tidak terjejas terutamanya bagi model kecil dan sederhana yang jimat bahan api,” katanya.
Dalam jangka masa panjang, CIMB Securities berkata dasar ini berkemungkinan menyokong momentum jualan dalam segmen kereta nasional termasuk Proton dan Perodua serta jenama Jepun di peringkat permulaan.
“Kami melihat potensi peningkatan terhadap unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2025 memandangkan andaian awal kami turut mengambil kira kemungkinan penurunan jualan kenderaan baharu susulan penghapusan subsidi petrol.
“Namun begitu, had bulanan sebanyak 300 liter memperkenalkan satu ambang tingkah laku iaitu pengguna tegar seperti pengembara jarak jauh, pengendali logistik dan pemilik kereta premium akan berdepan kos bahan api yang lebih tinggi selepas melepasi had tersebut,” katanya.
Bank itu juga berkata dasar subsidi ini mungkin mendorong peralihan ke arah kereta yang lebih jimat bahan api, hibrid dan kenderaan elektrik (EV).
Bagi pengeluar kenderaan, kata CIMB Securities, langkah ini memberikan kestabilan permintaan dalam jangka pendek tetapi berpotensi mempercepatkan peralihan struktur dalam penawaran produk ke arah kecekapan dan elektrifikasi.
“Aliran ini akan memihak kepada jenama yang sudah mengembangkan tawaran mobiliti lebih bersih mereka. Proton melancarkan e.MAS 7 EV dan merancang model EV kedua menjelang akhir 2025 manakala Perodua sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan EV pertamanya dalam tempoh yang sama,” kata CIMB Securities.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd pula berkata mekanisme subsidi baharu itu boleh mengurangkan keperluan mendesak penggunaan EV dan lebih memihak kepada kenderaan ICE apabila kerajaan beralih daripada pelaksanaan berasaskan pendapatan.
“Berbanding dengan jangkaan sebelum ini mengenai subsidi yang disasarkan berdasarkan pendapatan, langkah ini mungkin melemahkan pertumbuhan jualan kukuh yang dinikmati kenderaan EV sejak dua tahun kebelakangan ini.
"Satu titik jualan utama untuk EV iaitu andaian kumpulan pendapatan T10 akan dikecualikan subsidi,” katanya.
Kenanga berkata pemilik kenderaan EV berpotensi menjimatkan antara 11.4 hingga 28.3 peratus setahun berbanding kereta petrol dengan penjimatan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan bahan api RON97.
Dari sisi positif, bank berkenaan berkata ketidakpastian dalam segmen kenderaan pasaran sederhana dijangka berkurangan.
“Walaupun persaingan harga sengit daripada jenama China yang membanjiri pasaran dengan pelancaran produk yang menawarkan nilai yang menarik, lebih banyak jualan mungkin akan beralih kepada kenderaan ICE, memandangkan pendedahan mereka yang terbesar kepada model yang mampu milik,” tambah Kenanga.
Bank berkenaan juga memberi amaran iaitu subsidi ini boleh menjejaskan matlamat kelestarian, memandangkan ketidakpastian mengenai tempoh pelaksanaan skim itu.
“Langkah ini mungkin melambatkan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau daripada sektor pengangkutan seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Mobiliti Karbon Rendah dan langkah-langkah pemulihan mungkin diperlukan bagi menggalakkan pengambilan EV,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial