EKONOMI

Kerajaan Belum Berhasrat Kaji Semula Sistem Penggenapan Lima Sen - Amir Hamzah

22/09/2025 08:53 PM

BATU KAWAN, 22 Sept (Bernama) -- Kerajaan pada masa ini belum berhasrat untuk mengkaji semula sistem penggenapan kepada lima sen terdekat yang dilaksanakan sejak 2008.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ini berikutan mekanisme berkenaan masih berfungsi dan tidak mengganggu sebarang perniagaan dalam negara.

“Saya rasa buat masa sekarang sistem yang ada sekarang masih terpakai. 

“Jadi, kita biarlah sistem itu berjalan (dilaksanakan) kerana tidak mengganggu perniagaan yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Program Jelajah Belanjawan 2026 Pulau Pinang di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media tempatan agar sistem peng­genapan kepada lima sen terdekat itu perlu dikaji semula kerana dianggap sebagai merugikan pengguna dan menguntungkan peniaga ketika semua pihak kini beralih kepada pembayaran secara dalam talian.

Mekanisme penggenapan kepada 5 sen terdekat diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) serta diguna pakai secara rasmi di Malaysia sejak 1 April 2008, bertujuan memudahkan urus niaga tunai susulan langkah menamatkan penggunaan syiling satu sen daripada edaran.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MoF) meneruskan usaha melibatkan penyertaan pelbagai pihak dalam penyediaan Belanjawan 2026 menerusi penganjuran program jelajah untuk mendapatkan pandangan secara langsung daripada pemain industri dan pemegang taruh tempatan sebagai input utama dalam penggubalan belanjawan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan