PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), terus komited dalam menerajui agenda transformasi pengurusan tanah milik Kerajaan Persekutuan melalui pendekatan tadbir urus yang strategik, bersepadu dan lestari.
NRES dalam kenyataan hari ini memaklumkan komitmen itu diterjemahkan menerusi pelaksanaan dasar, perancangan dan inisiatif pembaharuan yang berterusan, bagi memastikan setiap aset tanah Persekutuan diurus secara optimum, menyumbang kepada pembangunan negara serta memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Antara pendekatan yang diperkenalkan termasuk, penyewaan premis demis yang membolehkan penggunaan aset tanah dan bangunan milik Kerajaan Persekutuan dimajukan atau digunakan oleh pihak ketiga, terutamanya sektor swasta atau GLC tanpa melibatkan sebarang perubahan pada hak milik,” menurut kenyataan itu.
Premis demis merujuk kepada mana-mana tanah, bangunan atau petak milik Persekutuan yang memenuhi kriteria, antaranya telah dibangunkan secara keseluruhan atau sebahagiannya atau berada di tanah-tanah Persekutuan.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Sambutan Hari Tanah Negara ke-9 hari ini, yang dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Pemangku Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
NRES dan JKPTG menyambut Hari Tanah Negara pada 27 Julai setiap tahun, iaitu sambutan dibuat bersempena dengan tarikh lantikan Pesuruhjaya Tanah dan Galian yang pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 27 Julai 1896.
Tahun ini merupakan kali kesembilan sambutan itu dibuat secara rasmi, setelah Kabinet meluluskan sambutan Hari Tanah Negara ini sejak 2017.
Bertemakan “Pengurusan Tanah Persekutuan Memacu Kemakmuran dan Kelestarian Malaysia MADANI”, sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada isu kritikal pengurusan tanah milik Kerajaan Persekutuan serta pelbagai cadangan penambahbaikan ke arah tadbir urus tanah yang lebih mampan, efisien dan berimpak tinggi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dalam ucapannya pada majlis sambutan itu berkata sambutan itu juga merupakan satu bentuk penghargaan kerajaan terhadap sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh negara, dalam memastikan perundangan dan pentadbiran tanah sentiasa relevan dan selari dengan arus perdana pembangunan negara.
“Peluang yang ada ini diharap dapat digunakan sepenuhnya oleh hadirin untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada penceramah yang telah dipilih, untuk dijadikan rujukan bagi penambahbaikan urusan kerja di pejabat masing-masing.
“Di samping itu, dengan perhimpunan kesemua warga kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan ini juga membolehkan jalinan perkenalan dan kerjasama dibina antara satu sama lain, demi kepentingan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik buat rakyat,” katanya.
Antara inti pati sambutan dua hari itu termasuk Persidangan Tanah Persekutuan hari ini, Persidangan Penolong Pegawai Tanah esok dan Karnival Tanah Persekutuan yang berperanan sebagai platform promosi tanah-tanah Persekutuan yang berpotensi untuk disewa atau dipajak kepada pihak berkepentingan, individu dan organisasi yang berminat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial