AM

Projek ECRL Capai Kemajuan 87 Peratus - Loke

22/09/2025 03:31 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Sept (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 87 peratus sehingga Ogos lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata segmen di Terengganu antara yang paling pantas disiapkan berikutan isu tanah telah diselesaikan lebih awal, selain faktor geografi di negeri itu yang rata serta kurang cabaran dari segi pembinaan.

“Di Terengganu, pembinaan trek hampir siap, manakala bahagian yang masih belum disiapkan melibatkan jajaran dari Bentong ke Gombak, khususnya Terowong Genting hingga ke Gombak, yang merupakan segmen paling mencabar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Perkhidmatan BAS.MY Kuala Terengganu di Pasar Payang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata kemajuan ECRL di Kelantan dan Terengganu tidak membimbangkan kerana kebanyakan proses pembinaan telah siap. 

Bagaimanapun, beliau mendedahkan terdapat isu kecurian kabel di Pahang yang menjejaskan kelancaran kerja pembangunan ECRL di kawasan tersebut.

“Lebih satu kilometer kabel telah dicuri dan itu menjadi masalah kepada pihak pemaju. Mereka perlu menilai semula pendekatan untuk mempercepatkan proses.

“Saya telah berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis. Tindakan lebih agresif perlu diambil, termasuk menggunakan peruntukan undang-undang yang lebih tegas untuk menangani isu tersebut,” katanya.

Beliau menambah, selain menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan, kecurian kabel itu turut mengganggu ketenteraman awam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan