KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) --Anak syarikat milik penuh Kelington Group Bhd (KGB), Kelington Engineering (S) Pte Ltd (KESG), memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM108 juta bagi kerja-kerja berkaitan dengan projek kilang pembungkusan canggih di Singapura.
Syarikat itu berkata kontrak tersebut merangkumi sistem paip pengedaran gas pukal untuk kemudahan tersebut yang sedang dibangunkan untuk pengeluar cip memori terkemuka global.
“Kontrak itu bernilai kira-kira SGD33 juta (bersamaan dengan kira-kira RM108 juta),” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut KGB, kerja-kerja dijadualkan dimulakan serta-merta dan akan diteruskan sehingga sijil penyiapan akhir dikeluarkan oleh pemilik projek, yang dijangkakan pada Disember 2026.
“Kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2025 dan 31 Dis, 2026,” katanya.
KGB juga berkata tiada pengarah atau pemegang saham utamanya, mahupun mana-mana orang yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu.
“Selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan kontrak, syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial