ISKANDAR PUTERI, 22 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz memuji prestasi menakjubkan anak buahnya selepas skuad Harimau Selatan itu melakar kemenangan bergaya 8-0 menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Beliau juga berpuas hati dengan para pemain kerana mengekalkan intensiti dan disiplin sepanjang perlawanan serta menyifatkan kemenangan itu ditujukan kepada peminat sambil menumpukan kepada tekad jangka panjang pasukan itu.
"Dari minit pertama hingga akhir, semua pemain di atas padang memberikan komitmen 100 peratus. Mereka fokus pada setiap detik, mengekalkan rentak yang baik, menyerang dan mencipta banyak peluang.
"Peminat juga seronok menyaksikan perlawanan ini … hari ini kami menang dan bermain dengan baik, namun kami perlu kekal dengan rancangan JDT, iaitu setiap hari kami perlu berikan yang maksimum. Hanya ada satu cara; fokus, terus maju, bergerak ke hadapan dan sentiasa beri yang terbaik," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Jurulatih dari Sepanyol itu turut menekankan kehebatan barisan tengah, terutamanya pada babak pertama apabila mereka mengawal penguasaan bola dan mengatur gerakan dengan baik.
Mengakui moral pasukan kini tinggi, Munoz berkata penting untuk mengekalkan momentum, dan perlawanan ini juga dilihat sebagai persiapan berharga menjelang aksi lebih mencabar selepas ini.
"Kami mengekalkan rentak dari minit pertama hingga akhir, selepas setiap jaringan, pemain terus memburu gol seterusnya. Permainan ini bukan hanya tentang pihak lawan, tetapi juga cara kami bermain dan bersedia untuk perlawanan yang lebih sukar," katanya.
Munoz berkata JDT bakal berdepan dua lagi perlawanan sebelum menyambung kempen Liga Juara-Juara AFC.
Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC Jean-Paul de Marigny mengakui pasukannya perlu segera bangkit dan belajar daripada kekalahan sambil mengakui JDT memiliki skuad yang luar biasa dengan kualiti di setiap kedudukan.
Beliau berkata kelemahan pemainnya sehingga membenarkan skuad Harimau Selatan itu menguasai bahagian tengah menjadi punca utama mereka hilang tumpuan.
"Pada babak pertama, kami kekurangan pemain di bahagian tengah, pergerakan dan pertukaran posisi mereka benar-benar menyukarkan kami dan dari situ mereka berjaya membolosi gawang gol. Pada babak kedua, pasukan dapat menangani masalah di bahagian tengah, namun tetap sukar untuk mengejar semula permainan," katanya pada sidang media itu.
Meskipun berdepan kekalahan teruk, de Marigny optimis bahawa anak buahnya akan bangkit dan menyusun semula strategi untuk tampil dengan prestasi lebih baik pada perlawanan seterusnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial