AM

JBPM Agih 150 Bot Komuniti Mudahkan Kerja Pemindahan Mangsa Banjir

21/09/2025 06:50 PM

KUALA BERANG, 21 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai mengagihkan 150 bot komuniti ke seluruh negara sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata bot tersebut bagi membolehkan kerja pemindahan awal mangsa banjir dijalankan oleh komuniti setempat.

Beliau berkata bagaimanapun, pada masa sama pihak JBPM akan bersedia dengan bot yang lebih besar untuk digunakan dalam keadaan arus besar dan lebih deras.

"Kita telah selesai mengagihkan 150 bot komuniti sebagai persediaan MTL. Kewujudan bot ini membolehkan komuniti bertindak di peringkat awal pemindahan mangsa sekali gus menyelesaikan sebahagian permasalahan logistik yang kita hadapi.

"Selain itu, dulu kita sering hadapi masalah banjir di kawasan perbandaran yang airnya tak dalam dan banyak halangan… perlu kepada bot kecil dan ringan. Jadi kita telah selesaikan dua masalah ini," katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) Bersama JBPM di Hutan Lipur Sekayu, di sini hari ini.

Nor Hisham berkata JBPM juga telah bersedia dengan 24,000 anggota untuk menghadapi banjir yang dijangka bermula hujung Disember depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan telah meluluskan perolehan 200 kenderaan baharu termasuk kenderaan penarik bot dan kenderaan operasi ringan yang dijangka mula dibekalkan awal tahun depan.

"JBPM juga memiliki aset tambahan termasuk 450 kenderaan marin, kenderaan angkut ringan (417 buah) dan kenderaan angkut berat (119 buah).

"Ini merupakan perkara yang kita perkukuhkan bagi meningkatkan keupayaan untuk respon kepada kerja-kerja membantu dan menyelamat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan