PADANG BESAR, 19 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menubuhkan lebih 10 makmal industri dan kilang mengajar di bawah Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) universiti berkenaan menerusi kerjasama dengan syarikat multinasional.
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata program industri dalam kampus (IOC) itu menyediakan sijil profesional bersama syarikat seperti Siemens, Huawei dan Keysight bagi membolehkan pelajar belajar secara terus daripada teknologi industri semasa.
“UniMAP sebagai sebuah universiti teknikal memainkan peranan penting untuk berkolaborasi dengan industri-industri. Sebagai universiti yang fokus kepada elektrikal dan elektronik dalam kluster semikonduktor, kami mempertingkat kerjasama dan mempunyai program IOC ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Ziarah Kasih UniMAP bagi menyantuni dan memberikan sumbangan kepada Law Chin Shuan, 21, yang akan mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di universiti itu bagi Sesi Akademik 2025/2026 di Kampung Alor Bemban, Chuping dekat sini hari ini.
Ibu kepada Chin Shuan, Chantana Eron, 46, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dan membuat kerja sawah bagi menyara Chin Shuan bersama dua lagi adiknya Law Chin Mei, 20, yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dan Law Andriana Lee, 18, pelajar matrikulasi di Arau.
Pada Ziarah Kasih itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman turut meluangkan lebih tiga minit beramah mesra dan memberikan kata-kata semangat kepada Chin Shuan serta keluarganya menerusi panggilan video bersama Naib Canselor UniMAP itu.
Zaliman berkata UniMAP sudah menandatangani hampir 300 memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) dan terdapat 1,000 projek penyelidikan yang aktif dengan pihak industri.
“Ini bertujuan mengurangkan jurang antara akademik dan industri, kami kena ada hubungan baik, mengadakan penyelidikan-penyelidikan di universiti berasaskan keperluan industri sebenar. Jadi, di UniMAP, kami menyediakan graduan tersedia industri,” katanya.
Sementara itu, Zaliman berkata universiti berkenaan kini mempunyai 13,765 pelajar berdaftar iaitu 96.8 peratus pelajar tempatan manakala selebihnya pelajar antarabangsa.
Beliau berkata untuk Sesi Akademik 2025/2026, UniMAP mengeluarkan 3,740 surat tawaran kepada pelajar baharu peringkat ijazah sarjana muda.
Yayasan Perkasa Siswa, Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) UniMAP dan UniMAP masing-masing menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai bantuan permulaan kepada Chin Shuan, selain UniMAP juga memberikan sumbangan berupa kotak makanan pada program berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial