AM

Program Golden Hands For Golden Care Bantu Warga Emas Nikmati Penjagaan Kesihatan Berkualiti

19/09/2025 10:45 AM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang bergerak ke arah status negara menua apabila dianggarkan 15.3 peratus daripada jumlah penduduk akan terdiri daripada warga emas menjelang 2030 dan pada 2040, seorang daripada setiap lima rakyat dijangka berusia 60 tahun ke atas.

Perubahan demografi ini dijangka mendorong peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan apabila kes penyakit degeneratif bertambah. 

Mengambil kira perkara itu, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) tekad meningkatkan kemampuan  prosedur perubatan dan pembedahan biasa kepada warga emas bagi membolehkan mereka mengekalkan kesihatan, mendapatkan semula mobiliti serta kemandirian dan pada masa sama, mengurangkan tekanan terhadap keluarga serta komuniti yang menyediakan penjagaan dan sokongan. 

Ketua Pegawai Eksekutif SMCV Susan Cheow berkata peralihan Malaysia ke arah masyarakat menua berlaku lebih pantas daripada apa yang disedari ramai. 

“Di SMCV, kami melihat perkara ini bukan sekadar cabaran tetapi juga tanggungjawab untuk memimpin. Menerusi Program Golden Hands for Golden Care Support, kami komited mewujudkan penyelesaian yang memberi ketenangan jangka panjang kepada warga emas dan keluarga mereka,” katanya. 

Bagi kebanyakan warga emas, menangguhkan rawatan lazimnya bermaksud sesuatu penyakit itu hanya dikesan apabila telah mencapai tahap lebih serius.  

Mereka juga kekal sebagai antara kumpulan yang keperluan penjagaan kesihatannya paling tidak dipenuhi di Malaysia, dengan alasan tidak mendapatkan atau menangguhkan rawatan paling kerap dilaporkan ialah kurang pengetahuan tentang perkhidmatan penjagaan kesihatan yang tersedia dan kekangan kewangan. 

“Banyak pesakit datang ke hospital dengan komplikasi yang boleh dielakkan menerusi rawatan peringkat awal, menjadikan proses rawatan lebih rumit, pemulihan mengambil masa panjang dan lebih sukar untuk mereka kembali hidup berdikari,” kata Pengarah Perubatan yang juga Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMCV Dr Wee Tong Ming. 

Kesan daripada diagnosis lewat amat ketara dalam isu kesihatan paling mendesak di Malaysia. Sesetengah keadaan seperti penyakit jantung boleh mengancam nyawa dan kekal sebagai punca utama kematian manakala penyakit lain seperti strok menyebabkan kehilangan upaya jangka panjang seterusnya mengubah kehidupan seharian pesakit. 

Osteoartritis, terutamanya pada lutut secara beransur-ansur akan menghakis mobiliti dalam kalangan orang dewasa lebih berusia menyebabkan aktiviti seperti berjalan atau menaiki tangga menjadi semakin sukar. 

Sementara itu, keadaan yang kelihatan kecil seperti batu karang atau hernia boleh berkembang secara senyap dan menjadi situasi kecemasan yang menimbulkan risiko lebih besar pada usia tua. 

Semua penyakit ini bukan hanya memendekkan jangka hayat tetapi juga “merampas” kemandirian pesakit.

Menyedari cabaran ini, SMCV dari 10 Sept hingga 10 Nov ini memperkenalkan Program Golden Hands for Golden Care Support yang menawarkan inisiatif nilai tempoh terhad pembedahan biasa dan prosedur perubatan untuk memudahkan rawatan pembedahan tepat pada masa. 

Program itu ditawarkan kepada rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas yang membayar sendiri dengan tumpuan kepada prosedur berkaitan usia serta membantu memulihkan kesihatan, mobiliti dan kemandirian. 

“Pembedahan yang dilakukan pada masa tepat boleh mengubah kehidupan pesakit warga emas.

“Apabila kita merawat sebelum keadaan menjadi lebih teruk, proses pemulihan lebih selamat dan pantas selain pesakit mempunyai peluang lebih tinggi untuk mengekalkan kemandirian mereka,” kata Dr Wee. 

Manfaat memberi penjagaan kesihatan tepat pada masa juga melangkaui pesakit kerana apabila mereka kembali berdikari, keluarga berasa lebih tenang, cucu menikmati lebih banyak masa berkualiti dan komuniti kekal kukuh melalui sumbangan berterusan warga emas yang aktif serta terlibat secara sosial.

Selain intervensi pembedahan, SMCV juga menekankan pemulihan selepas strok dengan menawarkan rawatan perubatan bagi menyokong pesakit memulihkan kawalan motor, pertuturan dan keupayaan kognitif. 

“Di SMCV, penjagaan bukan sekadar merawat penyakit. Ia mengenai memulihkan maruah, mobiliti serta keyakinan supaya warga emas dapat mengambil bahagian sepenuhnya dalam keluarga dan komuniti,” kata Cheow.  

“Dengan meningkatkan akses kepada rawatan pembedahan asas, kami mahu memastikan warga emas yang memerlukan bantuan boleh mendapatkannya pada masa yang tepat dan dalam persekitaran yang menyokong,” katanya. 

SMCV berhasrat menjadikan penjagaan berkualiti lebih mudah diakses dan bermakna untuk warga emas. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Golden Hands for Golden Care.

Pesakit berminat juga boleh hadir ke SMCV untuk rundingan bersama pakar bedah daripada pelbagai bidang yang terlibat, dan mereka akan memberikan nasihat mengenai kelayakan. 

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan