AM

Ribut, Angin Kencang Jejas 18 Rumah Dan Masjid Di Pantai Remis

17/09/2025 09:33 PM

IPOH, 17 Sept (Bernama) -- Sebanyak 18 rumah dan sebuah masjid terjejas akibat ribut serta angin kencang yang melanda sekitar kawasan Pantai Remis, Manjung hari ini.

 Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung dalam kenyataan malam ini, memaklumkan menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada 8.56 pagi melalui aplikasi WhatsApp daripada kumpulan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

 “Kejadian berlaku sekitar 12.30 tengah malam susulan hujan lebat dan angin kencang berterusan. Anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian pada 12.20 tengah hari sebelum tiba di Masjid Al-Aliah pada 1.15 tengah hari. 

 “Pemeriksaan mendapati beberapa bumbung masjid serta rumah penduduk termasuk di Taman Nelayan 2, Jalan Pengkalan Baru dan Kampung Cina rosak serta mengalami kebocoran,” menurut kenyataan itu.

 PKOD APM turut memaklumkan kebanyakan rumah kini dalam proses baik pulih bagi mengelak daripada kerosakan bertambah buruk memandangkan keadaan cuaca yang masih mendung.

 “Kerja penyelenggaraan dan pembaikan segera perlu dilakukan berdasarkan faktor cuaca dan APM Manjung juga akan terus mengemas kini laporan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan