PASIR MAS, 17 Sept (Bernama) -- Sebanyak 54 notis perobohan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan terhadap pangkalan haram yang dibina di atas tanah milik kerajaan di Pasir Mas dan Tumpat sejak minggu lepas.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tindakan meletakkan notis serta memasang garisan kuning di kawasan tersebut sebagai langkah awal sebelum tindakan perobohan dilakukan.
"Sebelum ini kawasan pangkalan haram tersebut dipercayai digunakan sebagai laluan penyeludupan barangan termasuk beras, ternakan, dadah dan senjata api melalui Sungai Golok.
"Setakat ini 44 notis telah diletakkan di Tumpat, manakala 10 lagi di Pasir Mas. Bagi jajahan Jeli dan Tanah Merah tiada notis diletakkan memandangkan kawasan tersebut tiada binaan berstruktur," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Ros Azhan berkata antara pangkalan haram yang dikenal pasti aktif dengan penyeludupan ternakan dan beras di Pasir Mas adalah pangkalan haram Senggeng, Pulai, Kaloi, Tanjung Baru, Pulau, Kolam, Kuala Jambu dan Kuala Senggeng.
"Kewujudan pangkalan haram ini bukan sahaja menimbulkan risiko keselamatan, malah turut menyukarkan operasi penguatkuasaan khususnya oleh PGA di kawasan sempadan," katanya.
Tinjauan Bernama di kawasan pangkalan haram terbabit hari ini mendapati beberapa notis yang ditampal itu memaklumkan mengenai tindakan perobohan di bawah Seksyen 426A Kanun Tanah Negara melibatkan binaan struktur haram di atas tanah milik kerajaan dan akan dijalankan dalam masa 14 hari selepas tarikh notis tanpa sebarang amaran lagi.
Pembinaan di atas Tanah Kerajaan tanpa kebenaran sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda hingga RM500,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Nik Ros Azhan berkata 212 jeti di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand telah dikenal pasti untuk dirobohkan dalam operasi bersepadu pihak berkuasa tempatan bersama agensi keselamatan.
Langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas di Pejabat Tanah dan Galian Kelantan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta memastikan kawalan sempadan lebih terjamin.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial