KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa tiga diari, beberapa buku latihan serta 15 helaian kertas diari milik Zara Qairina Mahathir dijumpai di almari dan rak buku kelas secara berperingkat sebelum diserahkan kepada polis.
Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Azhari Abd Sagap, 31, berkata penemuan pertama ialah pada 11.15 pagi 16 Julai apabila seorang guru dikenali sebagai 'Cikgu Gloria' memaklumkan kepadanya mengenai dua diari berwarna hijau dan ungu yang dijumpai di almari milik remaja perempuan itu.
“Ketika itu, saya berada di Hospital Queen Elizabeth... saya kemudian mengarahkan agar kedua-dua diari tersebut diserahkan kepada Cikgu Yuslina untuk simpanan sementara.
“Penemuan susulan berlaku keesokan harinya iaitu 17 Julai semasa saya berada di Hospital Queen Elizabeth pada 3.30 petang… ibu Zara Qairina memaklumkan saya bahawa beliau ingin mengambil barang-barang anaknya di asrama,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada hari kelapan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja itu.
Susulan itu, saksi tersebut berkata beliau telah meminta Cikgu Miswati membantu mengemaskan barang-barang Zara Qairina di almari dan diletakkan di bilik isolasi di aras bawah bangunan asrama.
“Saya dimaklumkan oleh Cikgu Miswati bahawa beliau telah menjumpai sebuah buku diari berwarna coklat dan sebuah buku latihan milik Zara Qairina di almari tersebut... saya telah meminta Cikgu Miswati menyerahkan kedua-dua buku tersebut kepada Cikgu Yuslina,” katanya.
Azhari berkata tiga diari dan sebuah buku latihan telah diserahkan kepada beliau oleh Cikgu Yuslina pada 8.30 pagi 18 Julai dan pada hari sama, keempat-empat buku diserahkan kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Wong Yew Zhung pada kira-kira 5 petang.
“Pada 19 Julai, sebanyak 15 helaian kertas diari milik mangsa turut ditemukan oleh Cikgu Miswati ketika melakukan pemeriksaan di rak buku kelas Zara Qairina sekitar 8 pagi dan kesemua helaian kertas tersebut kemudian diserahkan kepada Cikgu Yuslina sebelum disampaikan kepada saya.
“Saya kemudian menyerahkan 15 helaian kertas tersebut kepada Inspektor Wong pada hari sama jam 3 petang,” katanya.
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari selaku Pegawai Pengendali inkues berhubung kematian remaja itu, Azhari berkata beliau turut menyerahkan dua buku latihan Zara iaitu Bahasa Melayu dan Sains atas permintaan pihak polis.
Zara Qairina, 13, pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.
Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum itu setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial