KANGAR, 16 Sept (Bernama) -- Penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 berjaya menjana pulangan ekonomi hampir RM200,000 kepada usahawan tempatan hasil kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang lima hari acara itu berlangsung bermula 12 Sept lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata penganjuran pesta berkenaan berjaya membantu pengusaha makanan dan penginapan serta perkhidmatan lain berkaitan.
“Ia memberi kesan langsung kepada peniaga tempatan, sekali gus membuktikan pesta ini berpotensi dijadikan acara tahunan bertaraf antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup pesta air itu di Kuala Perlis dekat sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Untuk rekod, pesta air itu menarik penyertaan peserta dari 11 negara dengan acara utama iaitu Perlawanan Perahu Naga melibatkan pasukan dari Thailand, Brunei, Filipina serta pasukan ekspatriat mewakili Australia, England, Syria, Brazil, Libya, Kanada, Amerika Syarikat dan Indonesia.
Selain pertandingan air, pesta berkenaan turut dimeriahkan dengan acara sukan rakyat, persembahan kebudayaan dan pameran yang mencerminkan identiti Melayu Perlis sebagai daya tarikan utama.
Abu Bakar berkata antara tarikan utama pesta air itu ialah pelancaran Perahu Diraja "Jarum Emas Putra Jamalullail" yang menjadi ikon baharu acara air di Perlis, selain pertandingan perahu panjang dan perahu naga yang menghidupkan suasana tepian laut Kuala Perlis.
Beliau berkata acara sebegitu bukan sahaja memperkukuh hubungan masyarakat setempat malah memberikan ruang untuk Perlis diketengahkan sebagai destinasi pilihan pelancong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial